KUALA LUMPUR 15 Mei – Jentayu Sustainables Berhad memperoleh tender bernilai RM11.63 juta bagi kerja reka bentuk, pembekalan dan pemasangan struktur pembinaan sistem dek berasaskan keluli.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, kontrak terbaharu bagi melaksanakan projek tersebut diraih menerusi anak syarikatnya, Ipmuda Construction & Engineering Sdn Bhd.
Surat pelantikan untuk kerja-kerja itu diterima daripada Vestland Resources Sdn Bhd dan akan dilaksanakan berdasarkan arahan bertulis dikeluarkan oleh kontraktor utama dari semasa ke semasa.
"Skop projek ini merangkumi reka bentuk, pembekalan dan penghantaran dek serta pemasangan kerja susulan mengikut jadual projek yang ditetapkan oleh kontraktor utama," kata Jentayu Sustainables.
Kontrak tersebut dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan kumpulan itu bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 serta tahun-tahun kewangan berikutnya sehingga projek disiapkan.
Pada masa sama ujarnya, tender itu tidak memberi kesan terhadap modal saham terbitan dan pegangan saham pemegang saham utama syarikat kerana ia tidak melibatkan sebarang penerbitan saham baharu.
Selain itu, Jentayu Sustainables turut menjelaskan risiko utama kepada projek berkenaan adalah berkaitan ketidakpatuhan terhadap syarat kontrak yang boleh menyebabkan penamatan perjanjian.
"Bagaimanapun, pihak pengurusan Ipmuda memberi jaminan akan segera mengambil segala langkah yang munasabah bagi memastikan semua syarat kontrak digariskan dapat dipenuhi dengan baik," katanya.
Di samping itu tambah kumpulan berkenaan, tiada mana-mana pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan memiliki sebarang kepentingan langsung atau tidak langsung dalam kontrak tersebut.
Lembaga Pengarah Jentayu Sustainables berpandangan penerimaan kontrak itu adalah demi kepentingan terbaik kumpulan dan selari dengan strategi memperkukuh portfolio projek syarikat. - DagangNews.com








