Jentayu pulangkan RM8 juta kepada Sumitomo disebabkan penamatan kerjasama projek RE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jentayu pulangkan RM8 juta kepada Sumitomo disebabkan penamatan kerjasama projek RE

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Julai - Jentayu Sustainables Bhd akan memulangkan bayaran pendahuluan sebanyak RM8 juta kepada Sumitomo Corporation selepas kumpulan itu tidak berhasrat melanjutkan kerjasama dalam projek tenaga boleh diperbaharui (RE) yang dimeterai dua tahun lalu.

 

Jalinan kerjasama itu dianggap luput selepas tamat tempoh pada 20 Julai lalu dan pemulangan bayaran pendahuluan itu akan dilakukan pada suku kewangan kedua berakhir 31 Disember 2025.

 

Jumlah tersebut akan terus diklasifikasikan sebagai liabiliti semasa dalam akaun Jentayu bagi tahun kewangan semasa, kata kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Pada Mac lalu, Jentayu telah membatalkan cadangan pengambilalihan aset hidro di Sabah, lebih tiga tahun selepas perjanjian ditandatangani. 

 

Penamatan tersebut melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM6.35 juta.

 

Pada April 2025, Jentayu telah menandatangani perjanjian pembelian tenaga selama 40 tahun dengan Sabah Electricity Sdn Bhd bagi projek hidroelektrik berkapasiti 162 megawatt di Hulu Sungai Padas, Sipitang, dengan nilai projek sebanyak RM2.8 bilion.

 

Kumpulan itu mengesahkan, semua kelulusan berkaitan tanah dan sumber bagi projek tersebut telah diperoleh daripada kerajaan Sabah, dan projek itu dijangka menjana hasil berulang tahunan kira-kira RM300 juta. - DagangNews.com