JOHOR 24 April - Kedudukan Johor yang berdekatan dengan Singapura terus menjadi pemacu utama kemasukan pelaburan pusat data ke negeri itu, meskipun peningkatan kos operasi semakin mengecilkan kelebihan dari segi kos.
Pengarah Penarafan Korporat S&P Global Ratings, Ng Yijing berkata, Johor masih berada pada kedudukan kukuh dalam landskap pusat data serantau, disokong oleh ketersediaan tanah, lokasi strategik berhampiran Singapura serta daya saing kos operasi.
“Tiga perkara utama iaitu ketersediaan tanah, kedekatan dengan Singapura selain rangkaian kabel dasar laut serantau yang luas, serta kecekapan kos,” katanya merujuk kepada kedudukan Johor ketika persaingan serantau bagi menarik pelaburan pusat data semakin sengit.
Ng berkata demikian ketika menyertai sesi perbincangan panel bertajuk Data Centres: Financing this New Asset Class dalam forum anjuran bersama S&P Global Ratings dan RAM Ratings pada Rabu, lapor The Edge.
Menurut beliau, walaupun kelebihan kos kini semakin berkurangan susulan kenaikan tarif elektrik dan peraturan air yang lebih ketat, Johor masih lebih kompetitif berbanding Singapura.
Johor kekal lebih murah berbanding Singapura
Sebelum ini dilaporkan kos elektrik bagi fasiliti berintensiti tenaga tinggi seperti pusat data meningkat antara 10% hingga 15% di bawah kategori baharu “voltan ultra tinggi” yang berkuat kuasa pada Julai tahun lalu.
“Walaupun begitu, kos mengendalikan pusat data di Johor masih jauh lebih rendah berbanding di Singapura,” katanya sambil menegaskan kos bukan faktor utama dalam penentuan lokasi sesebuah pusat data.
Beliau turut menjelaskan, walaupun pasaran seperti Thailand, Vietnam dan India semakin mendapat perhatian dalam sektor pusat data, Johor terus meraih manfaat daripada lokasinya yang strategik berhampiran Singapura.
Keadaan itu membolehkan negeri berkenaan menyerap limpahan permintaan apabila kekangan kapasiti dan kos lebih tinggi di negara kota tersebut mendorong pelaburan merentasi sempadan.
“Pada pandangan saya, pusat data yang berada di lokasi tepat, untuk kegunaan tepat dan memenuhi permintaan tepat akan terus menjadi prinsip utama yang kekal relevan,” katanya.
Fokus pusat data bertaraf tinggi redakan risiko lambakan
Sementara itu, seorang lagi ahli panel, Ketua Serantau Pasaran Modal Hutang Maybank Investment Bank Bhd, Andrew Lim berkata, kebimbangan terhadap kemungkinan lambakan pusat data di Malaysia kini semakin reda susulan langkah dasar yang mengetatkan kelulusan projek baharu.
Menurut beliau, peralihan kepada fasiliti bertaraf lebih tinggi khususnya pusat data Tahap 3 dan Tahap 4 dijangka membantu mengawal lebihan penawaran dengan menumpukan pembangunan kepada pusat data berkualiti tinggi.
Lim berkata, beliau sebelum ini melihat risiko lambakan susulan ledakan pelaburan pusat data di Malaysia.
“Namun selepas perubahan dasar yang diperkenalkan baru-baru ini, saya fikir kita kini berada di landasan tepat untuk mengawal lebihan penawaran dengan menumpukan kepada pusat data yang benar-benar berkualiti tinggi,” katanya.
Pada November tahun lalu, pihak berkuasa Johor memberi bayangan pendekatan lebih memilih dalam meluluskan pusat data, termasuk memberi keutamaan kepada projek bertaraf tinggi dengan piawaian kecekapan lebih kukuh susulan kebimbangan terhadap penggunaan air yang tinggi bagi tujuan penyejukan. - DagangNews.com








