KUALA LUMPUR 13 Feb – Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) melancarkan program pembiayaan mikro bernilai RM20 juta dikenali sebagai Jana MyPesara bagi membantu pesara sektor awam menjana pendapatan selepas persaraan menerusi keusahawanan berskala kecil.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, inisiatif itu diperkenalkan pada waktu yang kritikal ketika Malaysia sedang berdepan peralihan demografi ke arah populasi menua.
Menurut beliau, berdasarkan unjuran semasa, Malaysia dijangka mencapai status negara menua menjelang 2048 apabila 14% daripada jumlah penduduk berusia 65 tahun dan ke atas.
“Kita perlu mengambil iktibar daripada negara-negara Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) seperti Jepun.
"Populasi warga emas yang tinggi dan semakin meningkat menunjukkan betapa pentingnya penyertaan ekonomi dalam kalangan golongan berusia bagi memastikan kelestarian jangka panjang,” katanya pada majlis pelancaran program berkenaan.

Setakat ini, lebih 800,000 pesara berada di bawah seliaan KWAP.
Amir Hamzah berkata, ramai pesara berdepan kekangan untuk mendapatkan pembiayaan daripada institusi perbankan konvensional walaupun masih berkeupayaan menyumbang secara ekonomi.
“Ketiadaan pendapatan bulanan tetap serta faktor usia menjadi antara halangan utama untuk mereka mendapatkan akses pembiayaan,” jelas beliau.
Tambahnya, Jana MyPesara selaras dengan agenda kerajaan untuk memperkukuh konsep penuaan produktif serta meningkatkan penyertaan ekonomi di peringkat akar umbi.
“Seperti diumumkan dalam Belanjawan 2026, peruntukan RM20 juta bagi Jana MyPesara melengkapkan usaha kerajaan membina sistem sokongan sosial yang lebih bersasar dan sejajar dengan keperluan negara menuju status populasi menua,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Nik Amlizan Mohamed berkata, pelaksanaan program tersebut mencerminkan komitmen KWAP dalam mengurus dana persaraan negara secara berintegriti, berdisiplin dan bertanggungjawab.
Beliau berkata, tinjauan dalaman KWAP mendapati ramai pesara masih menghadapi akses terhad kepada pembiayaan selepas bersara.
“Pada masa sama, kajian itu turut menunjukkan minat tinggi dalam kalangan pesara untuk terus terlibat dalam aktiviti keusahawanan, sama ada bagi menambah pendapatan atau kekal aktif dan produktif,” ujarnya.
Menurut Nik Amlizan, Jana MyPesara akan dilaksanakan melalui dua komponen utama iaitu penyediaan pembiayaan mikro dalam bentuk pinjaman berskala kecil untuk memulakan atau mengembangkan aktiviti penjanaan pendapatan.
“Struktur pembiayaan dirangka agar sesuai dan mudah diurus berdasarkan kemampuan pesara,” katanya.
Selain itu, program tersebut turut menyediakan latihan dan modul praktikal termasuk panduan pengurusan kewangan serta kemahiran asas perniagaan bagi memastikan perusahaan yang diusahakan dapat diurus secara lebih sistematik dan mampan.
Inisiatif berkenaan dijangka menjadi pemangkin kepada pengukuhan ekosistem sokongan ekonomi bagi pesara sektor awam, sejajar aspirasi kerajaan memperkasakan kesejahteraan rakyat dalam fasa persaraan. - DagangNews.com








