KUALA LUMPUR 23 Apr - JAG Capital Bhd, sebelum ini dikenali sebagai KUB Malaysia Bhd, melupuskan keseluruhan pegangan ekuiti 30% dalam pengendali ladang kelapa sawit berpangkalan di Sarawak, Sinong Sepadu Sdn Bhd pada harga RM44.3 juta susulan perbezaan hala tuju strategik dengan rakan usaha samanya.
Kumpulan itu berkata, anak syarikat milik penuhnya secara tidak langsung, KUB Agro Holdings Sdn Bhd, pada 22 April 2026 menandatangani perjanjian jual beli saham dengan Sinong Enterprise Sdn Bhd — pemilik baki 70% kepentingan dalam Sinong Sepadu — bagi pelupusan 1.95 juta saham dalam Sinong Sepadu.
Sinong Sepadu memiliki dua ladang di daerah tanah Oya-Dalat di Mukah, Sarawak, meliputi kawasan kira-kira 4,614.5 hektar.
Harga pelupusan itu dibuat berdasarkan nilai ekuiti tersirat sekitar RM147.67 juta bagi syarikat berkenaan, bersamaan kira-kira RM32,000 sehektar.
Harga tersebut mewakili premium 23.1% berbanding nilai pasaran yang dikaitkan dengan pegangan 30% itu, berdasarkan penilaian bebas menggunakan kaedah aliran tunai terdiskaun.

JAG Capital yang dikawal Menteri MITI, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menjangka merekodkan keuntungan pro forma kira-kira RM17.42 juta daripada transaksi berkenaan, sekali gus mengukuhkan kedudukan aset bersih dan pendapatannya.
Kumpulan itu berkata, keputusan untuk keluar daripada pelaburan berkenaan dibuat susulan kedudukannya sebagai pemegang saham minoriti serta perbezaan keutamaan dengan rakan kongsi dalam beberapa perkara perniagaan utama.
Modal Kerja
Hasil pelupusan akan digunakan sebagai modal kerja dan berkemungkinan ditempatkan dalam deposit berfaedah atau instrumen jangka pendek sementara kumpulan menilai peluang pelaburan baharu.
Transaksi itu dijangka selesai menjelang suku ketiga 2026, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa dan pemenuhan syarat terdahulu.
Saham JAG Capital yang terlibat dalam perniagaan gas petroleum cecair (LPG), kabel, bahan binaan dan ICT ditutup tidak berubah pada 98.5 sen semalam, meletakkan nilai pasaran syarikat pada RM548.9 juta.
Pada pembukaan dagangan jam 9 pagi ini, saham syarikat dibuka pada 98.0 sen, turun 0.5 sen berbanding harga penutup sebelumnya. Sepanjang tempoh setahun lalu, saham itu melonjak 75.9%. - DagangNews.com








