Jabatan Audit Negara mesti bebas dan dilihat bebas daripada elemen politik - Radzi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jabatan Audit Negara mesti bebas dan dilihat bebas daripada elemen politik - Radzi

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 24 Julai — Jabatan Audit Negara perlu bebas daripada terlibat dalam pelbagai program rasmi yang dianjurkan kerajaan dan dilihat sebagai bebas, kata seorang wakil rakyat pembangkang.

 

Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin ketika membuat gesaan tersebut berkata, jabatan itu sepatutnya bebas daripada sebarang bentuk pengaruh, tekanan atau konflik kepentingan tertentu.

 

Tambahnya, ia juga mestilah dilihat bebas oleh masyarakat sebagai institusi bebas termasuk tidak terlibat dalam program Santuni MADANI diadakan pada 26 Julai 2025 di Taman Tasik Taiping, Perak.

 

“Saya mohon Ketua Audit Negara, umumkan segera bahawa mulai hari ini, ia menghentikan sebarang penglibatan dalam program sedemikian," katanya dalam hantaran menerusi akaun media sosialnya.

 

Semalam, Radzi turut membangkitkan perkara itu ketika membahaskan Laporan Ketua Audit Negara di Dewan Rakyat dan mempersoalkan kebebasan Jabatan Audit Negara menyertai banyak program kerajaan.

 

Pemimpin Perikatan Nasional itu menceritakan pengalaman dirinya sewaktu bertugas menjadi pensyarah pengauditan di Australia berhubung isu kebebasan juruaudit kepada tahap keyakinan masyarakat.

 

 

 

 

 

 

 

Dalam konteks audit awam, jabatan berkenaan memainkan peranan penting kerana bertanggungjawab mengaudit akaun kerajaan Persekutuan, kerajaan-kerajaan negeri dan agensi-agensi kerajaan.

 

audit
POSTER diterbitkan Jabatan Audit Negara yang dibangkitkan Radzi Jidin kerana ia jelas menunjukkan agensi berkenaan sebagai tidak bebas apabila turut mempromosikan propaganda kerajaan.

 

"Ketua Audit Negara, jangan takut! Pastikan warga jabatan terus fokus dengan tugas hakiki cukup penting untuk negara kita,” tegas Radzi yang turut memberikan contoh penilaian kerja pelajar universiti.

 

Katanya, jika penuntut diminta menyemak sendiri tugasan diberikan pensyarah, mustahil mereka akan memberikan markah rendah dan situasi itu menunjukkan penilaian tidak bebas serta ada konflik.

 

Justeru, beliau mencabar Jabatan Audit Negara agar tidak terlibat dalam program propaganda politik anjuran kerajaan seperti pernah dilakukan dirinya ketika dilantik menjadi Menteri Pendidikan.

 

Ia berlaku semasa pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob dan kementeriannya membuat ketetapan tidak menggunakan tema Keluarga Malaysia dalam sebarang aktiviti di sekolah.

 

"Ramai cuba gambarkan seolah-olah kami tidak sokong tema tersebut tetapi hakikatnya, kementerian berpegang kepada prinsip bahawa sekolah perlu bebas daripada sebarang elemen politik," katanya.

 

Radzi dalam nada sindiran menempelak kerajaan hari ini aktif dengan Malaysia MADANI di semua institusi pendidikan sehingga menyebabkan ramai guru 'serabut' dikerah mempromosikan jenama itu.

 

Sehubungan itu, demi mempertahankan kredibiliti jabatan, beliau memohon Ketua Audit Negara menghentikan penglibatan dalam Santuni MADANI dan mana-mana program seumpamanya. - DagangNews.com