Isu siasatan SPRM kemungkinan jejas reputasi Sunway Construction, kata penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Isu siasatan SPRM kemungkinan jejas reputasi Sunway Construction, kata penganalisis

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 22 Julai — Isu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkemungkinan besar menjejaskan reputasi Sunway Construction Group Berhad, menurut penganalisis.

 

CGS International (CGSI) berkata, walaupun kumpulan itu sendiri bukan subjek siasatan dan pelanggan tidak mengalami kerugian, ia tidak menolak beberapa kerosakan reputasi sehingga kes diselesaikan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kes tersebut mungkin memberi kesan kepada beberapa tender terutama dalam pembangunan pusat data (DC), yang difahamkan terdapat lapan kontrak berjumlah RM14 bilion.

 

"Pada pandangan kami, keadaan ini boleh membantu beberapa syarikat lain, seperti Gamuda Berhad dan IJM Corp Berhad bersaing untuk turut meraih tender DC yang sama," katanya dalam satu nota kajian.

 

Semalam, Sunway Construction mengesahkan SPRM menyiasat seorang kakitangannya berhubung kes kontrak projek tertentu dan ia juga bekerjasama sepenuhnya ke atas pihak yang terlibat.

 

Bagaimanapun tambah CGSI, memandangkan jenama Sunway Construction cukup kukuh, kumpulan itu diramal dapat pulih daripada isu tersebut tanpa memberi kesan kepada tempahan baharu dalam jangka panjang.

 

Setakat 25 Jun 2025 kata firma berkenaan, syarikat itu sudah meraih kontrak berjumlah RM3.5 bilion manakala buku tempahannya pula mencecah RM7.9 bilion dengan pembinaan DC membentuk 49 peratus.

 

"Kami percaya sasaran kemenangan tempahan semasa untuk FY25 sebanyak RM4.5 bilion hingga RM6 bilion adalah teguh tetapi mungkin tidak mengejutkan bagi mewajarkan penilaian semula," katanya.

 

Artikel berkaitan: Sunway Construction sahkan ada kakitangan disiasat SPRM berkaitan kes kontrak pelanggan

 

Berdasarkan perkembangan tersebut, CGSI masih lagi mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran sebanyak RM5.50 sesaham kerana kebimbangan terhadap risiko kos projek yang lebih tinggi.

 

Sementara itu, MBSB Research pula melihat siasatan SPRM itu sebagai insiden terpencil yang tidak mencerminkan rangka kerja tadbir urus dalaman dan nilai korporat tinggi oleh Sunway Construction,.

 

Pengurusan kumpulan berkenaan kata firma penyelidikan itu, telah menegaskan semula bahawa insiden tersebut mempunyai kesan terhad kepada keupayaan syarikat mendapatkan atau melaksanakan projek.

 

"Justeru, anggaran pendapatan kami ke atas kumpulan ini kekal tidak berubah, kerana kami juga terus menjangkakan perolehan pendapatan teras yang kukuh pada FY25 dan seterusnya," kata MBSB Research.

 

Selain itu, ia mengekalkan pandangan bahawa penambahan kerja akan kekal teguh terutama dalam segmen DC, yang terus mempamerkan momentum yang kukuh dengan pelbagai fasa pembangunan sedang dijalankan.

 

Susulan perkembangan tersebut, firma berkenaan masih mengekalkan saranan 'beli' ke atas Sunway Construction dengan harga sasaran juga tidak berubah kepada RM6.44 sesaham. - DagangNews.com