KUALA LUMPUR 17 Feb – Petronas dan Petros mesti bekerjasama, tidak boleh `lokek’ dan tidak boleh hanya Petronas sahaja untung dalam soal minyak dan gas Sarawak, Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Kita kongsi tapi mesti ada kongsi. Apa yang kita ada, kita boleh kongsi – kita tidak lokek (kedekut). Tidak boleh 'makan seorang' sahaja.
“Petronas dan Petros mesti bekerjasama, tidak boleh Petronas sahaja (untung)... kita mesti bekerjasama,” kata Abang Johari ketika merasmikan Konvensyen Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Kuching pada Sabtu.

Premier menegaskan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) terbuka untuk berkongsi sumbernya untuk manfaat bersama.
Beliau memberi jaminan bahawa walaupun menghadapi cabaran, Sarawak tetap komited terhadap keadilan dan keterangkuman dalam sektor tenaga.
Sambil melahirkan rasa terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana mengiktiraf peranan Sarawak sebagai pengumpul gas, Abang Johari berkata pengakuan ini membuka jalan untuk mengatasi cabaran.
“Dengan ini, kita boleh menyelesaikan sebarang cabaran yang kita hadapi. Malah Menteri Pengangkutan Anthony Loke bersetuju bahawa ini adalah menang-menang untuk kedua-dua Sarawak dan Malaysia.
“Kami berkongsi apa yang kami ada. Kami tidak mengambil semuanya untuk diri kami sendiri,” katanya.
Sebelum ini, Abang Johari mendedahkan masih terdapat perkara yang perlu diselesaikan berhubung isu minyak dan gas Petronas dan Petros.
"Masih terdapat ‘perkara samar-samar’ yang mesti diteliti oleh pihak-pihak terlibat, tetapi suatu resolusi akan dicapai.
“Lebih kurang muktamad, tetapi masih ada perkara samar-samar disebabkan salah maklumat. Hakikatnya, situasi jelas tetapi maklumat salah mengeruhkan keadaan,” katanya.
Ini susulan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said bahawa Petronas telah menerima peranan Petros sebagai agregator gas tunggal kecuali gas asli cecair (LNG). - DagangNews.com








