KUALA LUMPUR 9 Julai — DHL menjangka pelaksanaan tarif baharu Amerika Syarikat (AS) ke atas Malaysia mulai 1 Ogos 2025 tidak memberi risiko luas kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Pengarah Urusan DHL Express Malaysia dan Brunei, Julian Neo berkata, asas keyakinan itu turut berdasarkan perangkaan kumpulan tersebut dan menerusi pengalaman pelbagai peristiwa sebelum ini.
Kata beliau, laporan global syarikat berkenaan sendiri pada 2024 menunjukkan perdagangan rentas sempadan hanya membentuk 21 peratus berbanding keseluruhan aktiviti perniagaan PKS di negara ini.

"Daripada jumlah tersebut, cuma 2.6 peratus melibatkan pasaran AS dan China, dengan menunjukkan pendedahan tarif itu sebenarnya tidak sebesar yang difikirkan," katanya ketika ditemui pemberita.
Terdahulu, beliau menyertai sesi taklimat mengenai Strategi 2030 DHL dengan Pengarah Urusan DHL Supply Chain Malaysia, Mario Lorenz sebelum media dibawa meninjau fasiliti syarikat logistik itu.
Mengulas lanjut, Julian berkata, komuniti perniagaan terutama PKS perlu merebut peluang meneroka pasaran baharu yang lebih luas di seluruh dunia tanpa terlalu bergantung kepada AS atau China.

Tambahnya, mereka dinasihatkan buat terlebih dahulu tidak perlu pergi ke negara-negara terlalu jauh, namun boleh meninjau pasaran rantau Asia Tenggara sendiri dengan penduduk lebih 680 juta.
"Bayangkan, menurut pangkalan data kami sendiri ada sejumlah 1.2 juta syarikat PKS di seluruh Malaysia tetapi yang ada terlibat dalam eksport pula hanya kira-kira 18 peratus," kata beliau.
Ditanya apakah tarif 25 peratus yang akan dikenakan AS itu boleh memberi kesan negatif kepada DHL, Julian memberi contoh beberapa insiden pernah dialami syarikat tersebut puluhan tahun lalu.

Ini katanya, termasuk ketika wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) yang melanda rantau Asia Pasifik, selain isu Covid-19 di seluruh dunia dan terbaharu konflik antara Rusia dengan Ukraine.
Dalam nada optimis tambah beliau, DHL yakin dan sudah bersedia dengan impak akibat pelaksanaan tarif timbal balik AS itu yang berkuat kuasa pada awal bulan depan sekiranya tetap diteruskan.
"Kami dalam hal ini memuji usaha kerajaan meneroka pasaran baharu, namun masih terlalu awal mengulas isu tarif kerana di atas kertas, kerajaan Malaysia boleh berunding lagi," kata Julian.

Pada masa sama katanya, DHL turut bersedia membantu memperkasakan PKS untuk memperluaskan pasaran antarabangsa ke negara-negara bukan tradisional melalui inisiatifnya dikenali GoTrade System.
Program dilancarkan sejak 2023 itu tambahnya, menerima kerjasama dari Perbadanan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dengan penyertaan lebih 2,000 peserta menerusi 18 bengkel yang dianjurkan.
DHL kata Julian, turut melancarkan Strategi 2030 pada September 2024 sebagai mengukuhkan komitmen syarikat itu terhadap pertumbuhan ekonomi Malaysia dan mengenal pasti potensi peluang baharu.

"Malaysia sebenarnya berada pada kedudukan terbaik berbanding negara-negara serantau terutama dalam sektor automotif, teknologi dan e-dagang selain tenaga boleh diperbaharui," tambahnya.
Justeru katanya, DHL melaksanakan pelaburan terbesar setakat ini dengan pembukaan Kuala Lumpur Gateway pada 2024 bernilai RM300 juta selain RM655 juta lagi diperuntukkan untuk pelbagai projek.
Ia dirancang sehingga 2028 bagi memperluaskan kapasiti gudang, tenaga kerja, serta inisiatif kelestarian termasuk Penang Logistics Hub 5 dan South Region Hub. - DagangNews.com








