Isu operasi UUE di Singapura, kos pentadbiran tekan prestasi jangka pendek bagi 3QFY26 - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Isu operasi UUE di Singapura, kos pentadbiran tekan prestasi jangka pendek bagi 3QFY26 - RHB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 5 FebUUE Holdings Berhad berdepan cabaran operasi jangka pendek susulan kelewatan kelulusan permit operasi projek di Singapura serta peningkatan kos pentadbiran sepanjang 3QFY26.


Bagaimanapun, RHB Research terus kekal yakin isu berkenaan hanya bersifat sementara dan masih lagi mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran 64 sen sesaham, mewakili potensi kenaikan 33%.


Menurut firma penyelidikan tersebut, prestasi lemah segmen kerja di Singapura memberi tekanan kepada keuntungan, meskipun hasil suku tahunannya meningkat 79% suku ke suku (QoQ) pada 3QFY26.


"Operasi di republik itu masih mencatat kerugian sekitar RM50,000, akibat kelewatan berpanjangan kelulusan permit, walaupun momentum projek mula pulih sejak November 2025," katanya dalam nota.


Kelembapan tersebut jelas RHB Research, turut menjejaskan permintaan produk paip jenis HDPE keluaran UUE, dengan kadar penggunaan kilang hanya sekitar 50% pada tempoh tiga bulan berkenaan.


Firma tersebut namun memaklumkan yang kadar penggunaan kumpulan itu kini meningkat melebihi 60% setakat ini antara Disember 2025 hingga Januari 2026, sejajar dengan pemulihan aktiviti projek.


Di Malaysia pula katanya, prestasi operasi syarikat tersebut kekal menggalakkan dengan sumbangan suku tahunan adalah sebanyak RM51 juta, didorong projek berkaitan Tenaga Nasional Berhad (TNB).


"Pengurusan memberi keutamaan kepada pencapaian kerja bagi memastikan lanjutan kontrak 2+1 tahun, disokong penambahan tenaga mahir tempatan dan penglibatan subkontraktor yang besar," jelasnya.


Dari segi prospek, RHB Research menjangkakan 4QFY26 mencatat sumbangan kukuh daripada Singapura selari peningkatan momentum projek, walaupun tempoh henti operasi musim perayaan selama 2 minggu.


Keadaan tersebut tambah firma penyelidikan tersebut, disebabkan cuti panjang bersempena sambutan Tahun Baharu Cina, dikenal pasti berpotensi dalam mengehadkan prestasi jangka pendek UUE sendiri.


Sementara itu katanya lagi, buku tender kumpulan masih kekal sihat pada sekitar RM300 juta, dengan hampir separuh tender Malaysia melibatkan projek transmisi tenaga solar bernilai RM141.2 juta.


"Buku tender Singapura mencecah S$50.8 juta (RM160 juta) termasuk kontrak terus Singtel, manakala buku tempahan terkumpul berjumlah RM508.5 juta, dengan 62% berkaitan TNB," jelas RHB Research.


Ia namun menegaskan segmen tenaga solar masih berdepan tekanan susulan peralihan skim Net Energy Metering (NEM) kepada ATAP PPA, ketidaktentuan harga panel dan peningkatan harga logam perak.


Sehubungan itu jelas firma penyelidikan tersebut, pihak pengurusan UUE sudah mengurangkan tenaga kerja bagi mengekang kerugian dan mengambil pendekatan yang berhati-hati buat sementara waktu.


RHB Research mengekalkan unjuran pendapatan yang lebih agresif berbanding panduan pengurusan, disokong jangkaan pengisian kontrak yang kukuh walaupun margin projek kemungkinan besar rendah.


"Bagaimanapun antara risiko utama yang dikenal pasti ialah kegagalan pemerolehan kontrak baharu serta kelewatan kelulusan permit, khususnya di Singapura," katanya. - DagangNews.com