KUALA LUMPUR 6 Jun – Tawaran awam permulaan (IPO) LAC Med Berhad menawarkan sehingga 124.2 juta saham menjelang penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia.
IPO itu akan terdiri daripada terbitan awam sebanyak 74.2 juta saham baharu, mewakili 18.5% daripada asas saham syarikat yang diperbesarkan, dan tawaran untuk penjualan 50 juta saham sedia yang mewakili 12.5%, menjadikan keseluruhan pegangan 31% ditawarkan kepada pelabur.
LAC Med yang dikhususkan dalam penyediaan serta penyepaduan peranti perubatan, akan menggunakan hasil IPO untuk perbelanjaan modal termasuk pembinaan ibu pejabat dan gudang baharu, pengembangan perniagaan di Indonesia serta pembangunan segmen perkhidmatan baharu seperti Peralatan sebagai Perkhidmatan (EaaS) dan Perkhidmatan Pengurusan Aset Peralatan Perubatan (MEAMS).
Syarikat berkata, mereka berhasrat memperluas perisian dan sistem bagi segmen fasiliti penjagaan kesihatan dengan memperkenalkan rumusan baharu yang dapat meningkatkan ketersediaan aset, kebolehpercayaan peralatan, meminimumkan masa henti serta mengoptimumkan penggunaan.
Sebanyak 100 juta saham diperuntukkan kepada pelabur institusi, manakala baki 24.2 juta saham kepada pelabur runcit.
Daripada saham institusi itu, 50 juta diperuntukkan kepada pelabur institusi terpilih dan baki 50 juta kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Bagi pelabur runcit, 10 juta saham ditawarkan kepada pelabur Bumiputera dan 10 juta saham kepada pelabur bukan Bumiputera, manakala 4.2 juta saham diperuntukkan kepada pihak yang layak.
Sebahagian hasil juga digunakan untuk pembayaran balik pinjaman bank dan modal kerja.
LAC Med merancang membuka pejabat cawangan di Sumatera, Surabaya dan Kalimantan antara 2026 hingga 2027 sebagai sebahagian daripada rancangan peluasan serantau, menyasarkan pasaran perubatan Indonesia yang berkembang pesat dipacu inisiatif kerajaan serta peningkatan permintaan susulan pertumbuhan penduduk dan golongan warga emas.
Pemegang saham utama LAC Med ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Liew Yoon Poh (29.4%), abangnya dan Pengerusi Bukan Eksekutif, Liew Yoon Kit serta Giam Teck Eng dan Chan Yue Mun yang masing-masing memegang 22.8%.
Yoon Poh, Yoon Kit, dan Giam akan menjual sebahagian pegangan mereka dalam tawaran untuk jualan, mengurangkan pegangan masing-masing kepada 18.9%, 14.9%, dan 14.9%.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY24), untung bersih LAC Med menyusut 1.7% kepada RM20.7 juta berbanding RM21.1 juta pada FY23, walaupun hasil meningkat hampir 22% kepada RM183.2 juta berbanding RM150.3 juta.
RHB Investment Bank Bhd dilantik sebagai penasihat utama, penaja jamin tunggal, dan ejen penempatan tunggal bagi penyenaraian tersebut.- DagangNews.com








