IPO Hock Soon terlebih langgan 1.36 kali menjelang penyenaraian di Pasaran Utama Bursa Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

IPO Hock Soon terlebih langgan 1.36 kali menjelang penyenaraian di Pasaran Utama Bursa Malaysia

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 9 Feb – Tawaran awam permulaan Hock Soon Capital Berhad yang akan disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia terlebih langgan sebanyak 1.36 kali.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat pengeluar telur itu berkata sebanyak 2,779 permohonan untuk 33.88 juta saham bernilai RM20.33 juta diterima daripada orang awam bagi 25 juta saham yang diperuntukkan.

 

Bagi bahagian Bumiputera, 1,242 permohonan untuk 12.43 juta saham diterima dengan hampir semua permohonan berjaya diluluskan. Sementara itu, 1,537 permohonan untuk bahagian awam sebanyak 21.38 juta saham mencatatkan kadar langganan 1.72 kali.

 

Selain itu, 12.5 juta saham bagi individu yang layak, 62.5 juta saham untuk Bumiputera yang diluluskan MITI dan 50 juta saham untuk pelabur terpilih melalui penempatan persendirian juga habis dilanggan.

 

Daripada 104.34 juta saham yang diagihkan melalui penempatan persendirian, 25 pelabur teratas memegang 62.46 juta saham, bersamaan 12.49 peratus daripada jumlah saham selepas IPO.

 

Tiada pelabur baharu yang menjadi pemegang saham utama hasil daripada penyenaraian ini. Hock Soon dijadualkan disenaraikan di Pasaran Utama pada 13 Februari.

 

 IPO itu dijangka mengumpul RM90 juta dengan RM60 juta akan digunakan untuk pengembangan perniagaan, manakala RM30 juta lagi diberikan kepada keluarga pengasas Ong.

 

Pemegang saham semasa yang menjual sebahagian pegangan mereka termasuk Pengarah Urusan Ong Boon Leng, isterinya Lim Suk Gen, serta anak mereka Keat Hoe dan Keat Qian, yang juga merupakan Pengarah Eksekutif Hock Soon. - DagangNews.com