KUALA LUMPUR 13 Julai – Penyedia perkhidmatan sokongan teknikal bagi penyelenggaraan dan pemulihan telaga minyak serta gas, United Asiapac Energy Berhad memeterai perjanjian taja jamin bersama TA Securities Holdings Berhad menjelang tawaran awam permulaan (IPO) syarikat itu di Pasaran ACE.
Perjanjian itu antara langkah penting dalam persediaan United Asiapac Energy untuk melaksanakan penyenaraian yang dijangka berlangsung pada suku ketiga 2026, sekali gus membuka peluang kepada pelabur untuk mengambil bahagian dalam perkembangan syarikat dalam sektor minyak dan gas.
Menerusi tawaran awam permulaan itu, syarikat akan menerbitkan sebanyak 139.22 juta saham baharu.
IPO Libatkan 139.22 Juta Saham Baharu
Daripada jumlah tersebut, TA Securities akan bertindak sebagai penaja jamin bagi 37.5 juta saham yang merangkumi 27.5 juta saham untuk permohonan orang awam Malaysia serta 10 juta saham yang diperuntukkan kepada pengarah, pekerja dan individu yang menyumbang kepada kejayaan syarikat serta anak syarikatnya.
Baki sebanyak 101.72 juta saham pula akan diperuntukkan kepada pelabur terpilih menerusi kaedah penempatan persendirian bagi melengkapkan keseluruhan struktur tawaran awam permulaan tersebut.
United Asiapac Energy merupakan penyedia perkhidmatan khusus yang membantu pengendali minyak dan gas dalam kerja penyelenggaraan, pemulihan serta pengurusan operasi telaga sepanjang tempoh penggunaannya, daripada peringkat penerokaan dan pengeluaran sehingga proses penutupan telaga yang tidak lagi beroperasi.
Syarikat Tawar Perkhidmatan Sokongan Telaga Minyak Dan Gas
Antara perkhidmatan utama syarikat termasuk kerja mengeluarkan peralatan atau objek yang tersangkut di dalam telaga, menutup telaga minyak dan gas yang telah tamat tempoh operasi secara kekal, membina laluan baharu dalam telaga bagi mengakses kawasan pengeluaran baharu serta menyediakan penyelesaian teknikal lain untuk memastikan operasi telaga berjalan dengan selamat dan cekap.
Berbeza dengan aktiviti penggerudian yang biasanya diperlukan ketika pembangunan telaga baharu, perkhidmatan yang disediakan United Asiapac Energy diperlukan pada pelbagai peringkat sepanjang hayat sesebuah telaga.
Keperluan ini membolehkan syarikat menyokong pengendali minyak dan gas dalam menangani isu operasi, meningkatkan pengeluaran serta memastikan proses penamatan telaga dilakukan mengikut keperluan keselamatan dan alam sekitar.
Syarikat menjalankan operasinya melalui kontrak panggilan dan pesanan pembelian, yang membolehkan pengendali minyak dan gas mendapatkan kepakaran serta peralatan khusus apabila diperlukan.
Operasinya turut disokong oleh pangkalan di Kemaman dan Labuan selain kemudahan peralatan khusus yang dimiliki syarikat.
Dana IPO Untuk Perluas Operasi Syarikat
Dana yang bakal diperoleh daripada tawaran awam permulaan itu akan digunakan untuk memperluaskan jumlah peralatan khusus berkaitan kerja telaga, sekali gus meningkatkan keupayaan syarikat untuk melaksanakan lebih banyak jenis perkhidmatan.
Sebahagian dana turut diperuntukkan bagi pengambilan jurutera bagi menyokong pengenalan penyelesaian baharu.
Selain itu, hasil tawaran awam permulaan tersebut akan digunakan bagi pembelian pejabat korporat baharu, pembayaran balik pinjaman bank, keperluan modal kerja serta membiayai kos berkaitan proses penyenaraian.
Pengarah Urusan United Asiapac Energy Berhad, Ahmad Fadzuli Ali berkata, pemeteraian perjanjian itu merupakan pencapaian penting dalam perjalanan syarikat daripada penyedia perkhidmatan khusus kepada sebuah syarikat tersenarai.
Beliau berkata, syarikat kekal memberi tumpuan kepada penyediaan perkhidmatan yang selamat dan boleh dipercayai kepada industri minyak dan gas, di samping memperkukuh perniagaan bagi menyokong pertumbuhan pada masa hadapan.
Sementara itu, Ketua Kewangan Korporat TA Securities Holdings Berhad, Dominic Seah berkata, pihaknya teruja untuk menyokong langkah strategik United Asiapac Energy yang dijangka meningkatkan lagi profil syarikat dalam industri serta membolehkan penyertaan pelabur dalam perkembangan masa depannya.
TA Securities Holdings Berhad bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi IPO tersebut. - DagangNews.com








