IOI Corp dijangka kekal momentum pendapatan pada 2QFY26 apabila lebih banyak pokok memasuki tempoh matang puncak - Penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

IOI Corp dijangka kekal momentum pendapatan pada 2QFY26 apabila lebih banyak pokok memasuki tempoh matang puncak - Penganalisis

Oleh Hamden Ramli

KUALA LUMPUR 27 Nov - IOI Corporation Bhd dijangka mengekalkan momentum pendapatan dalam 2QFY26, berasaskan peningkatan berterusan hasil FFB apabila lebih banyak pokok memasuki tempoh matang puncak, kata penganalisis. 

 

CGS International (CGSI) dalam nota penyelidikannya berkata, susulan situasi tersebut pihaknya yakin paras inventori yang tinggi boleh diterjemahkan kepada jumlah jualan yang lebih tinggi pada suku akan datang.

 

Katanya, walaupun harga CPO mungkin kekal lembut dalam jangka pendek disebabkan pengeluaran yang tinggi di Sabah dan Sarawak, firma itu percaya harga akan kekal disokong menjelang tempoh pengeluaran rendah secara bermusim pada akhir tahun ini.

 

"Berbanding rakan setara perladangan bersepadu, kami percaya operasi hiliran IOI akan mampu mencatatkan margin paling tinggi dalam FY26F berasaskan strategi perolehan yang kukuh dan produk nilai tambah tinggi yang mempunyai harga jualan lebih tinggi, disertai sumbangan lebih besar daripada syarikat bersekutunya," kata firma itu yang turut mengekalkan penarafan TAMBAH ke atas saham IOI.

 

RHB Research juga mengekalkan penarafan sedia ada iaitu BELI dengan harga sasaran baharu berasaskan SOP pada MYR4.75 dari MYR4.40, potensi kenaikan 17% dengan hasil sekitar 3% bagi FY26F (Jun).

 

"Keuntungan 1QFY26 IOI Corp adalah dalam jangkaan. Kami menjangkakan pendapatan segmen huluannya kekal kukuh disokong harga CPO yang tinggi, manakala keuntungan bahagian hiliran dijangka bertambah baik. 

 

"Penilaian pasaran kekal menarik – pada 17.3x P/E 2026F, iaitu hujung bawah julat rakan setara 16-20x.," kata firma itu.

 

Sementara itu Maybank Investment Bank (Maybank IB) menjangkakan pendapatan lebih kukuh QoQ pada 2QFY26 kerana keluaran FFB yang lebih tinggi akan mengimbangi ASP yang lebih rendah, manakala pendapatan hiliran dijangka mendatar QoQ. 

 

"Susulan semakan naik unjuran pendapatan kami berdasarkan ASP yang lebih tinggi, kami menaikkan TP kepada MYR4.26 (daripada MYR3.85) dengan PER FY26E tidak berubah pada 19x, purata 5 tahun. Kekalkan HOLD," katanya.

 

MBSB Research juga mengekalkan saranan BELI dengan TP tidak berubah pada RM4.42, berdasarkan EPS FY26F sebanyak 20.5 sen yang disandarkan kepada PER 21.6x, sedikit lebih tinggi daripada purata sejarah 5 tahun.

 

Menurut firma itu, bahagian huluan dijangka menyumbang lebih 90% daripada keuntungan operasi kumpulan bagi FY26 – FY28F, disokong oleh kekuatan margin yang berterusan melebihi 40%. 

 

"Ini dipacu oleh kos pengeluaran yang agak rendah sekitar RM1,900–2,000/Mt, yang kompetitif berbanding rakan setara.

 

"Dalam jangka masa terdekat, pendapatan akan banyak dipengaruhi oleh pergerakan harga CPO, dengan sebarang pemulihan harga berpotensi menyokong lagi trajektori keuntungan Kumpulan," kata firma itu. - DagangNews.com