Inventori minyak sawit Malaysia cecah paras tertinggi 20 bulan pada Ogos, harga diunjur RM4,400 satu tan  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Inventori minyak sawit Malaysia cecah paras tertinggi 20 bulan pada Ogos, harga diunjur RM4,400 satu tan 

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 11 Sept - Inventori minyak sawit (PO) Malaysia melonjak buat enam bulan berturut-turut pada Ogos, mencecah 2.20 juta metrik tan (MT) – paras tertinggi sejak Januari 2024 – apabila pengeluaran lebih tinggi dan eksport yang lembap menekan imbangan pasaran.

 

Menurut data industri, stok minyak sawit mentah (CPO) meningkat 5.4% bulan ke bulan (MoM) dan 15.8% tahun ke tahun (YoY), manakala stok minyak sawit diproses naik 3.0% MoM dan 36.5% YoY.

 

Kenaikan ini berlaku meskipun penghantaran ke China (+22% MoM kepada 107,000 tan) dan Kesatuan Eropah (+48% MoM kepada 361,000 tan) meningkat, tetapi eksport ke India – pasaran utama Malaysia – susut 0.8% MoM kepada 302,000 tan.

 

Secara keseluruhan, eksport Ogos susut tipis 0.3% MoM kepada 1.32 juta MT. Bagi tempoh lapan bulan pertama 2025, jumlah eksport berkurangan 10.8% YoY kepada 9.61 juta MT, didorong oleh persaingan sengit daripada bekalan Indonesia yang lebih murah.

 

Phillip Capital Research dalam nota penyelidikan bertarikh 11 September 2025 berkata harga CPO dijangka kekal pada paras RM4,000 hingga RM4,400 setiap MT pada suku ketiga 2025, disokong oleh aktiviti restocking perayaan tetapi dihadkan oleh risiko bekalan minyak boleh makan global yang semakin meningkat.

 

Firma itu juga menaikkan unjuran purata harga CPO 2025 kepada RM4,280/MT (daripada RM4,100/MT sebelum ini), manakala unjuran 2026 dikekalkan pada RM4,000/MT.

 

Risiko inventori tinggi

Phillip Capital Research memberi amaran, peningkatan inventori yang lebih pantas daripada permintaan boleh memberi tekanan ke atas harga sekiranya eksport gagal pulih.

 

“Jika paras stok terus meningkat tanpa sokongan permintaan eksport yang kukuh, industri sawit Malaysia berdepan risiko lebihan bekalan berpanjangan yang boleh menjejaskan margin penapis dan keuntungan pengeluar huluan,” kata laporan itu.

 

Firma tersebut menambah, inventori tinggi juga meningkatkan risiko turun naik harga, terutama jika pasaran minyak boleh makan global menerima tambahan bekalan daripada Indonesia, Amerika Selatan atau rantau Laut Hitam. Situasi ini boleh memaksa Malaysia menawarkan diskaun lebih besar untuk kekal kompetitif di pasaran utama seperti India dan China.

 

Saranan sektor & saham pilihan

“Kami mengekalkan saranan Neutral terhadap sektor perladangan dengan unjuran harga purata CPO pada RM4,280/MT bagi 2025 dan RM4,000/MT bagi 2026. Unjuran ini mencerminkan jangkaan persekitaran bekalan-permintaan yang lebih seimbang di sebalik volatiliti pasaran yang berterusan,” jelas Phillip Capital Research.

 

Antara risiko utama kepada pandangan sektor ialah:

  1. Pengeluaran minyak sawit dan soya yang lebih tinggi/rendah daripada jangkaan,

  2. Permintaan global yang lebih kukuh/lemah daripada jangkaan,

  3. Perubahan dasar dan cukai eksport/import minyak boleh makan,

  4. Volatiliti harga minyak mentah Brent global, dan

  5. Ketidaktentuan makroekonomi global.

 

Untuk pendedahan sektor, firma penyelidikan itu mengutamakan Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK) dengan saranan BUY dan harga sasaran (TP) RM22.62, disokong oleh operasi huluan yang berskala, struktur kos berkesan dan kedudukan kewangan yang kukuh.

Bagi rujukan, harga purata jualan (ASP) yang direalisasikan oleh syarikat-syarikat di bawah liputannya kini berada antara RM3,900 hingga RM4,300/MT, bergantung kepada komitmen jualan hadapan serta jadual penghantaran. - DagangNews.com