International Scooterian Mega Gathering edisi ke-5 sasar 60,000 peserta berhimpun di Terengganu pada 2027 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

International Scooterian Mega Gathering edisi ke-5 sasar 60,000 peserta berhimpun di Terengganu pada 2027

Antara skuter yang dipamerkan di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu - Gambar Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 12 Mei – Acara permotoran International Scooterian Mega Gathering edisi ke-5 (iSMG  yang bakal berlangsung di Kuala Terengganu pada tahun 2027 menyasarkan kehadiran lebih 60,000 peserta, kata penganjur program, Wan Mohd Zulhafeeza Wan Mohd Yusof.

 

Beliau berkata sasaran itu boleh dicapai memandangkan berlaku trend peningkatan penyertaan setiap tahun dengan penganjuran terbaharu berjaya menghimpunkan lebih 40,000 peserta.

 

“Baru-baru ini, terdapat lebih 300 peserta dari Filipina, Thailand, Singapura, Vietnam dan Indonesia yang turut hadir menyertai perhimpunan peminat skuter di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu.

 

“Kita sasarkan penyertaan dari luar negara ini akan meningkat kepada 1,000 peserta pada tahun depan yang akan dicapai melalui promosi berterusan,” katanya ketika dihubungi DagangNews.com.

 

Edisi iSMG 4.0 X D’Kobe Fest yang berlangsung selama empat hari baru-baru ini mencuri tumpuan ramai dan meletakkan Kuala Terengganu sebagai salah satu destinasi utama pelancongan berasaskan komuniti permotoran di rantau Asia Tenggara.

 

t

 

t

 

Acara yang bermula 7 Mei itu bukan sahaja meriah dengan kehadiran peserta tempatan, tetapi turut mencatat penyertaan antarabangsa dari negara Asia Tenggara yang membuktikan pengaruh iSMG semakin meluas merentasi sempadan negara.

 

Wan Mohd Zulhafeeza berkata penyertaan 300 peserta dari luar negara itu menunjukkan jenama iSMG kini semakin dikenali dalam kalangan komuniti peminat skuter antarabangsa dan bukan lagi sekadar acara berskala domestik.

 

“Angka sasaran baharu 60,000 yang kami tetapkan itu bukan sekadar mencerminkan pertumbuhan acara dari segi saiz, tetapi lebih penting adalah potensi ekonomi yang boleh dijana kepada negeri melalui kemasukan pelancong dalam jumlah yang besar.

 

“Fokus kita bukan hanya pada angka, tetapi bagaimana setiap kehadiran itu memberi kesan langsung kepada ekonomi setempat, khususnya kepada peniaga kecil, pengusaha hotel, homestay, makanan dan perkhidmatan pengangkutan.

 

“Setiap kali penganjuran iSMG berlangsung, kesan limpahan ekonomi dapat dirasai secara jelas apabila kadar penginapan meningkat, restoran dan kedai makan sesak, serta aktiviti perniagaan kecil menjadi lebih rancak berbanding hari biasa,” katanya.

 

t

 

 

t
Ketua Polis Terengganu, DCP Datuk Mohd Khairi Khairudin (kanan) bersama penaja utama, Kelven Zynergys (tengah) dan Wan Mohd Zulhafeeza)

 

Situasi itu menunjukkan bagaimana sebuah acara komuniti mampu mencipta kitaran ekonomi jangka pendek yang memberi manfaat terus kepada rakyat setempat, khususnya mereka yang terlibat dalam sektor pelancongan dan perniagaan mikro.

 

Dalam masa yang sama, kawasan sekitar Kuala Terengganu turut mengalami peningkatan aktiviti pelancongan yang ketara, apabila pengunjung bukan sahaja hadir untuk acara, tetapi turut meluangkan masa melawat lokasi tarikan sedia ada di negeri ini.

 

Fenomena ini secara tidak langsung membantu memanjangkan tempoh tinggal pelancong di Terengganu, sekali gus meningkatkan perbelanjaan pelancong dalam pelbagai sektor termasuk makanan, hiburan, cenderamata dan pengangkutan.

 

Dengan kehadiran komuniti peminat skuter antarabangsa yang semakin berkembang, iSMG kini dilihat sebagai salah satu pemangkin utama dalam usaha meletakkan Terengganu sebagai destinasi penganjuran acara berasaskan pelancongan yang lebih kompetitif di peringkat serantau.

 

Jika sasaran 60,000 peserta berjaya dicapai, ia dijangka menjadikan iSMG antara himpunan peminat skuter terbesar di Asia Tenggara, sekali gus memberikan impak ekonomi yang lebih besar kepada ekosistem pelancongan negeri. - DagangNews.com