KUALA LUMPUR 21 Mei — Instrumen pengurusan mudah tunai Islam (ILMI) semakin menerima tarikan sehingga berjaya merentasi pasaran kewangan Islam utama seperti negara-negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Malaysia, kata Fitch Rating.
Firma penarafan antarabangsa itu bagaimanapun berkata, sektor tersebut masih lagi kekal berpecah disebabkan daripada isu perbezaan dalam rangka kerja kawal selia dan tafsiran prinsip syariah, berdasarkan Kajian Kewangan Islam 2025 dilaksanakannya.
Ia menambah, institusi kewangan Islam juga terus menghadapi cabaran struktur dalam menguruskan mudah tunai jangka pendek, terutamanya disebabkan kumpulan instrumen yang mematuhi peraturan secara terhad serta penggunaan pasaran tidak sekata.
"Pembangunan ILMI adalah penting untuk kestabilan dan pertumbuhan kewangan Islam, kerana ia membolehkan institusi memenuhi keperluan pembiayaan jangka pendek tanpa menjejaskan prinsip Syariah itu sendiri," kata Fitch dalam kajian tersebut.
Hasil daripada laporan penyelidikan berkenaan tambahnya, menekankan urus niaga rentas sempadan sebagai kekal terhad, dengan kekurangan dari segi penyelarasan peraturan dan instrumen piawai yang boleh menghalang penerimaan secara lebih meluas.
Kerjasama yang baik kata firma itu, antara pengawal selia, badan penetapan piawai dan institusi kewangan adalah penting untuk menambah baik aspek penyeragaman dan membangunkan rangka kerja mudah tunai Islam yang lebih bersepadu.
Fitch namun memperakui pelbagai usaha secara berterusan yang dilaksanakan oleh agensi kawal selia di negara ini dan pemain pasaran untuk mengembangkan lagi tahap ekosistem ILMI.
"Proses evolusi ILMI adalah syarat yang perlu untuk meningkatkan daya tahan sistem kewangan Islam, terutamanya apabila industri berkembang dalam kerumitan dan berskala," tambahnya. - DagangNews.com








