KUALA LUMPUR 29 Mei – Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) menjalankan kolaborasi strategik menerusi Memorandum Persefahaman dalam pelaksanaan program latihan dan bimbingan bersama Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC Malaysia) untuk memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Malaysia.
Objektif utama kerjasama ini bertujuan untuk meningkatkan keupayaan dan daya saing PMKS, di samping memastikan manfaat dikecapai bersama melalui usaha kedua-dua pihak.
Di samping itu, kerjasama ini juga bakal menyediakan bimbingan perniagaan berstruktur dan direka khusus untuk PMKS bagi memperbaiki strategi perniagaan, melancarkan operasi, dan meningkatkan prestasi keseluruhan.
Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah INSKEN, Mustaffa Kamil Ayub berkata, INSKEN sentiasa mengalu-alukan kerjasama merentas agensi dan kementerian bagi memperkukuh ekosistem keusahawanan negara.
Kolaborasi sebegini penting untuk memastikan program latihan dan bimbingan yang ditawarkan lebih menyeluruh dan menepati keperluan sebenar PMKS.
Beliau turut berharap agar lebih banyak agensi tampil menjalin kerjasama strategik dalam usaha memperkasakan PMKS di seluruh negara, sekaligus meningkatkan daya saing dan ketahanan usahawan tempatan.
Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif CGC Malaysia, Datuk Mohd Zamree Mohd Ishak berkata, “MoU ini menandakan langkah strategik dalam memperkukuh peranan PMKS Malaysia sebagai penggerak utama pertumbuhan ekonomi negara.
"Kerjasama ini akan membuka lebih banyak ruang dan peluang kepada pembangunan kapasiti yang lebih tersasar, tersusun dan efektif – selari dengan aspirasi nasional dalam mempertingkatkan daya saing dan kelestarian PMKS Malaysia," kata beliau.
Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman ini diwakili oleh Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah INSKEN, Mustaffa Kamil Ayub, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Dr Maizura Mohamad, Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif CGC Malaysia, Datuk Mohd Zamree Mohd Ishak, dan Ketua Pegawai Sumber Manusia CGC Malaysia, Nazral Safril Mohamad Sapari. - DagangNews.com







