Insights Analytics raih subkontrak RM12.23 juta projek pencawang di Sibu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Insights Analytics raih subkontrak RM12.23 juta projek pencawang di Sibu

Pelabuhan bot ekspress di bandar Sibu, Sarawak
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 23 April - Insights Analytics Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, Insights Analytics Technologies Sdn. Bhd. (dahulunya dikenali sebagai Exxor Technologies Sdn. Bhd.), telah menerima Surat Anugerah bagi berperanan sebagai subkontraktor untuk projek pencawang elektrik di Sarawak.

 

Kontrak tersebut dianugerahkan oleh Tele Kenyalang Engineering Sdn. Bhd. bagi kerja-kerja pembinaan, pendigitalan, integrasi sistem pintar serta kerja-kerja luaran di Pencawang 33/11kV Upper Lanang, Sibu.

 

Nilai keseluruhan kontrak berjumlah RM12.235 juta termasuk Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), dengan tempoh pelaksanaan selama 16 bulan. Projek ini dijadualkan bermula pada 7 Mei 2026 dan disasarkan siap pada 6 September 2027.

 

Menurut makluman syarikat di Bursa Malaysia, terma pembayaran akan dibuat dalam tempoh 30 hari selepas pengeluaran sijil interim.

 

Projek ini turut dilindungi di bawah Program Insurans Dikawal Pemilik (OCIP) yang diuruskan oleh kontraktor utama, meliputi semua risiko pembinaan serta liabiliti pihak ketiga, tertakluk kepada syarat OCIP.


 

Insights Analytics Berhad

 


Tempoh tanggungan kecacatan (Defect Liability Period) adalah selama 24 bulan selepas Sijil Siap Kerja Praktikal dikeluarkan.

 

Selain itu, mekanisme pemotongan bayaran turut dilaksanakan di mana 10% daripada nilai kerja ditahan dengan had maksimum 5% daripada jumlah kontrak, dan akan dilepaskan secara berperingkat selepas pencapaian milestone projek.

 

Sumbangan kepada pendapatan kumpulan

Insights Analytics Technologies Sdn. Bhd. memaklumkan projek ini merupakan sebahagian daripada aktiviti teras kumpulan dalam penyediaan penyelesaian teknologi air dan sistem pengurusan aset pintar, manakala Tele Kenyalang Engineering Sdn. Bhd. bertindak sebagai kontraktor utama.

 

Syarikat itu menjangka projek tersebut akan menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan sepanjang tempoh kontrak.

 

Insights Analytics turut menjelaskan kelulusan pemegang saham atau pihak berkuasa tidak diperlukan bagi penerimaan kontrak ini.

 

Untuk rekod, Insights Analytics Berhad disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad pada 27 Oktober 2025 dengan M & A Securities Sdn. Bhd. sebagai penasihat penaja. - DagangNews.com