KUALA LUMPUR 9 Jun - Inisiatif seperti Sidang Kemuncak Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) dan Sidang Kemuncak Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur-Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) terbukti menjadi pelengkap penting kepada Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) dalam meningkatkan perdagangan, pelaburan dan ketersambungan di rantu ini.
Ketua penyelidikan pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors, Mohd Sedek Jantan berkata, walaupun AEC menetapkan rangka kerja makroekonomi yang lebih meluas, memberi keutamaan kepada kawasan rantau kecil juga telah menangani jurang pembangunan dengan menyasarkan kawasan terpinggir dan kurang membangun sambil menggerakkan agenda pertumbuhan inklusif ASEAN.
“IMT-GT menguasai Selat Melaka, satu daripada laluan perdagangan paling sibuk di dunia, manakala BIMP-EAGA berada di sepanjang Laut Sulu dan Laut Sulawesi, laluan hubungan maritim, yang membantu meningkatkan perdagangan, pelaburan dan ketersambungan merentas ASEAN.
"Kekuatannya terletak pada tumpuan terhadap apa yang dipanggil pakar ekonomi sebagai “spatial economics” (menumpu kepada lokasi aktiviti ekonomi dan peruntukan sumber merentas ruang geografi) - yang menyasarkan kepada wilayah mundur," katanya kepada Bernama.
Mohd Sedek berkata, sub-wilayah itu terletak secara strategik di sepanjang koridor maritim yang kritikal.
Katanya, IMT-GT memberi tumpuan kepada pemprosesan agro dan pelancongan, memanfaatkan kelebihan yang saling melengkapi antara selatan Thailand, utara Semenanjung Malaysia dan Sumatera, manakala BIMP-EAGA menonjol dalam sektor perikanan, tenaga boleh diperbaharui dan eko-pelancongan.
“Pendekatan ini bukan bersifat ‘satu penyelesaian untuk semua’ tetapi memanfaatkan kelebihan tempatan untuk disambungkan ke dalam rantaian nilai serantau dan global,” katanya.
Kedua-dua inisiatif sub-wilayah ini akan membangunkan Zon Ekonomi Khas (SEZ), yang bertindak sebagai pemangkin ekonomi dengan menarik pelaburan asing, merangsang pertumbuhan industri dan mewujudkan peluang pekerjaan melalui insentif serta peraturan yang dipermudahkan.
Dalam IMT-GT, zon seperti Medan dan Bukit Kayu Hitam di Malaysia, atau Sei Mangkei di Indonesia, sudah pun rancak dengan aktiviti, manakala BIMP-EAGA mempunyai lebih 60 SEZ dari Bitung di Indonesia hingga ke Zamboanga di Filipina.
“Zon-zon ini bukan sekadar kilang — ia adalah enjin transformasi — kelompok di mana perniagaan, pekerja dan infrastruktur saling menyokong untuk merangsang pertumbuhan.
“Dengan menghubungkan SEZ ini kepada perdagangan dan pelaburan rentas sempadan, IMT-GT dan BIMP-EAGA sedang membina jambatan ke arah kesepaduan ekonomi ASEAN yang lebih luas,” katanya.
Sektor Bermanfaat di Wilayah IMT-GT dan BIMP-EAGA
Mohd Sedek berkata, ASEAN boleh memanfaatkan IMT-GT dan BIMP-EAGA dalam sektor seperti pelancongan, agrobisnes, tenaga boleh diperbaharui (RE) dan pembuatan.
Katanya, pelancongan kekal sebagai sektor berimpak tinggi dengan pertumbuhan kukuh dalam pelancongan eko dan halal. Sebagai contoh, IMT-GT sedang mempromosikan pelancongan rentas sempadan di bawah Wawasan 2036.
BIMP-EAGA memberi tumpuan kepada eko-pelancongan berasaskan komuniti dan rangkaian pelancongan pelbagai negara yang selaras dengan piawaian ASEAN, dengan tapak strategik seperti Heart of Borneo dan Ekorantau Marin Sulu-Sulawesi, sekali gus meningkatkan nilai penawaran pelancongan serantau.
Mohd Sedek berkata, kedua-dua sub-wilayah itu menyasarkan pembinaan rantaian nilai bersepadu dalam sektor agrobisnes, dengan IMT-GT menerajui dalam pemprosesan agro seperti minyak sawit dan getah, manakala BIMP-EAGA berperanan sebagai bakul makanan ASEAN (udang, beras dan rumpai laut), sambil menambah bahawa industri makanan halal juga mendapat manfaat daripada pelengkap serantau ini.
Beliau turut mengetengahkan potensi tenaga geoterma di Kalimantan, serta tenaga lautan dan biodiesel, sambil menyatakan bahawa peralihan kepada tenaga bersih adalah penting disebabkan peningkatan kos tenaga, yang boleh memberi manfaat kepada negara-negara ASEAN lain.
Perkara yang sama turut terpakai kepada sektor pembuatan, di mana industri berorientasikan eksport di SEZ seperti Medan, Sei Mangkei dan Lhokseumawe sedang memacu transformasi struktur dan integrasi yang lebih mendalam ke dalam rantaian nilai serantau.
IMT-GT dan BIMP-EAGA Memacu Kemajuan ASEAN
Mohd Sedek berkata, kedua-dua sub-wilayah itu telah menjadi platform penting dalam memajukan agenda pembangunan inklusif ASEAN dengan memberi tumpuan kepada kawasan yang ketinggalan dari segi ekonomi dan yang terpinggir dari sudut geografi.
Beliau berkata, campur tangan mereka telah membantu merapatkan jurang pembangunan dalam negara dan memperbaiki kesaksamaan ruang, serta menangani cabaran yang tidak sepenuhnya ditangani oleh Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC).
“Sebagai contoh, koridor ekonomi IMT-GT seperti koridor Pulau Pinang-Medan telah memudahkan perdagangan bernilai AS$4.2 bilion (RM17.8 bilion) pada 2024, manakala projek infrastruktur rentas sempadan Malaysia-Thailand telah meningkatkan tahap keterhubungan dengan ketara.
“Begitu juga, Wawasan BIMP-EAGA 2025 telah mencetuskan pelaburan infrastruktur sebanyak AS$2.8 bilion (RM11.87 bilion), termasuk naik taraf utama di pelabuhan Davao dan Bitung, sekali gus memperkukuh daya tahan serantau dan menyokong matlamat keterhubungan lebih luas ASEAN di bawah Pelan Induk Ketersambungan ASEAN 2025,” katanya. - DagangNews.com








