KUALA LUMPUR 10 April - Infomina Berhad meraih kontrak bernilai RM23.49 juta daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) bagi penyediaan perkhidmatan operasi dan penyelenggaraan infrastruktur teknologi.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata kontrak tersebut diperoleh menerusi penerimaan Surat Setuju Terima (SST) bertarikh 31 Mac 2026.
Di bawah kontrak berkenaan, Infomina akan menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan perkakasan dan perisian bagi sistem gudang data LHDN, termasuk pembaharuan lesen perisian, sokongan teknikal perkakasan serta perkhidmatan sokongan profesional berkaitan.
Tempoh kontrak adalah selama dua tahun bermula 1 April 2026 hingga 31 Mac 2028, dengan nilai keseluruhan RM23,488,888, tidak termasuk cukai jualan dan perkhidmatan.
Kontrak LHDN ini menyusuli kemenangan kontrak Jabatan Imigresen yang diraih Infomina pada Mac 2026, bernilai RM68.92 juta daripada Kementerian Dalam Negeri bagi menyediakan perkhidmatan teknologi dan penyelenggaraan.
Sokong pendapatan kumpulan
Infomina berkata kontrak tersebut dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan kumpulan sepanjang tempoh pelaksanaan.
Sebarang lanjutan atau pembaharuan kontrak selepas tempoh berkenaan adalah tertakluk kepada budi bicara LHDN.
Syarikat itu turut menjelaskan bahawa faktor risiko bagi kontrak tersebut adalah selari dengan risiko sedia ada yang dihadapi oleh kumpulan.
Selain itu, lembaga pengarah menyatakan penerimaan kontrak berkenaan adalah dalam urusan perniagaan biasa dan demi kepentingan terbaik syarikat.
Tiada mana-mana pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan mempunyai kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam kontrak tersebut. - DagangNews.com








