Inflasi Malaysia naik kepada 1.4% pada November, kesan dasar SST dan RON95 – MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Inflasi Malaysia naik kepada 1.4% pada November, kesan dasar SST dan RON95 – MBSB Research

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 23 Dis - Inflasi keseluruhan Malaysia meningkat sedikit kepada 1.4 peratus tahun ke tahun (yoy) pada November 2025 berbanding 1.3 peratus pada Oktober, mencerminkan kesinambungan trend kenaikan beransur-ansur sejak mencatat paras terendah 1.1 peratus pada Jun lalu.

 

Menurut MBSB Research, bacaan tersebut berada dalam jangkaan firma penyelidikan itu tetapi sedikit lebih rendah daripada konsensus pasaran sebanyak 1.5 peratus.

 

Firma penyelidikan itu menjelaskan, kenaikan inflasi kebelakangan ini sebahagiannya dipengaruhi oleh langkah dasar seperti peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta pelarasan harga petrol RON95 bersubsidi.

 

Namun, kesan inflasi daripada perubahan dasar tersebut didapati lebih sederhana daripada jangkaan awal.

 

“Pertumbuhan harga kekal sederhana merentasi kategori makanan, bukan makanan dan inflasi teras. Tambahan pula, harga minyak mentah yang lebih rendah berbanding tahun lalu membantu mengehadkan peningkatan kos yang lebih meluas,” kata MBSB Research.

 

Dari segi komponen, peningkatan inflasi pada November didorong terutamanya oleh lonjakan harga minuman beralkohol dan tembakau yang meningkat kepada 2.4 peratus yoy berbanding hanya 0.3 peratus pada bulan sebelumnya.

 

Inflasi makanan di rumah turut mencatat peningkatan sederhana, disokong oleh pemulihan harga daging kepada 0.7 peratus yoy daripada penguncupan 0.7 peratus pada Oktober, serta kenaikan harga ikan dan makanan laut lain kepada 2.1 peratus yoy.

 

Sebaliknya, inflasi makanan di luar rumah menunjukkan sedikit penurunan kepada 2.8 peratus yoy berbanding 2.9 peratus pada bulan sebelumnya, menandakan tekanan kos dalam segmen perkhidmatan makanan semakin reda.

 

Harga bukan makanan pula terus meningkat pada kadar 1.3 peratus yoy, dipacu oleh inflasi lebih tinggi dalam komponen pendidikan yang meningkat kepada 2.6 peratus yoy serta kesihatan pada 1.5 peratus yoy. Namun, inflasi bagi komponen bukan makanan lain didapati semakin sederhana.

 

Sementara itu, inflasi teras kekal tidak berubah pada 2.2 peratus yoy, iaitu paras tertinggi sejak November 2023. Walaupun lebih tinggi berbanding beberapa bulan terdahulu, MBSB Research berpandangan tekanan harga asas masih boleh diurus dan mencerminkan peningkatan yang berperingkat.

 

Dari segi bulanan, inflasi teras mencatat perubahan sifar pada November, lebih rendah berbanding kenaikan 0.1 peratus pada Oktober dan 0.4 peratus pada September, menjadikannya kadar kenaikan paling perlahan sejak Julai.

 

Di peringkat global, harga makanan dunia terus berada dalam fasa deflasi, menyusut 2.1 peratus yoy pada November, paras terendah sejak Julai 2024. Penurunan ketara direkodkan dalam harga ayam, gula, bijirin dan produk tenusu, selain penyusutan mendadak indeks harga minyak dan lemak.

 

Pengukuhan Ringgit

Menurut MBSB Research, gabungan pengukuhan ringgit dan kejatuhan harga makanan global telah menambah baik prospek inflasi import, sekali gus mengurangkan kesan limpahan harga kepada isi rumah.

 

Firma itu menjangkakan inflasi Malaysia akan terus meningkat secara sederhana sepanjang suku pertama 2026, dipacu oleh gabungan faktor permintaan dan penawaran domestik, termasuk perbelanjaan pengguna yang disokong oleh dasar fiskal kerajaan serta kesan dasar monetari longgar sebelum ini.

 

Namun, MBSB Research mengingatkan bahawa risiko cuaca buruk yang menjejaskan pengeluaran pertanian tempatan berpotensi meningkatkan inflasi makanan domestik dalam tempoh terdekat. - DagangNews.com