KUALA LUMPUR 19 Mac - Inflasi Malaysia meningkat sederhana kepada 1.4 peratus pada Februari 2026, dengan indeks harga pengguna (CPI) naik kepada 136.0 berbanding 134.1 setahun lalu, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Inflasi di Malaysia pada Februari 2026 (1.4%) adalah lebih tinggi berbanding China (1.3%) dan Thailand (-0.9%).
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, sebanyak 59.7 peratus item (342 daripada 573) merekodkan kenaikan harga.
Namun begitu, daripada jumlah tersebut, 333 item (97.4%) mencatatkan peningkatan kurang atau sama dengan 10 peratus, manakala hanya sembilan item merekodkan kenaikan melebihi 10 peratus pada Februari 2026.
Berhubung dengan inflasi di peringkat negeri, lapan negeri mencatatkan peningkatan melebihi paras inflasi nasional (1.4%) iaitu Pahang (2.1%), Wilayah Persekutuan Labuan (2.1%), Negeri Sembilan (2.0%), Sabah (1.8%), Johor (1.7%), Pulau Pinang (1.6%), Terengganu (1.6%), dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (1.6%).
Manakala baki lapan negeri mencatatkan peningkatan di bawah atau sama dengan kadar inflasi nasional, dengan Kelantan merekodkan inflasi terendah iaitu 0.2% pada Februari 2026.
Kesemua negeri mencatatkan peningkatan inflasi Makanan & Minuman, kecuali Kelantan yang mencatat -0.7%. Tujuh negeri merekodkan peningkatan melebihi paras nasional bagi inflasi Makanan & Minuman (1.3%) pada Februari 2026.
Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Negeri Sembilan (3.0%), diikuti Pahang (2.3%), Johor (2.1%), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (1.8%), Pulau Pinang (1.7%), Kedah (1.6%), dan Melaka (1.4%).
Manakala negeri-negeri lain menunjukkan peningkatan di bawah atau sama dengan paras inflasi nasional bagi Makanan & Minuman. - DagangNews.com








