KUALA LUMPUR 4 Sept – Sektor penerbangan Malaysia kini berada di landasan kukuh menuju pemulihan penuh apabila jumlah trafik penumpang bulanan mencecah 9.3 juta pada Julai 2025, meningkat 3.9% berbanding bulan sebelumnya (MoM), menurut Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
Dari Januari hingga Julai 2025, jumlah trafik penumpang keseluruhan adalah 61.2 juta, meletakkan industri dalam laluan stabil untuk mencapai unjuran tahunan antara 105.8 juta hingga 112.9 juta penumpang.
Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Norazman Mahmud, berkata permintaan penumpang antarabangsa terus mengatasi domestik, mencerminkan tarikan Malaysia yang semakin kukuh sebagai destinasi pelancongan global.
Pada Julai katanya, penumpang antarabangsa melonjak 9.6% MoM dan 3.4% YoY kepada 4.7 juta, atau 98.7% daripada tahap pra-pandemik (Julai 2019).
“Pertumbuhan ini disokong oleh kapasiti tempat duduk yang ditingkatkan, insentif visa 30 hari kepada pelancong dari China dan India, serta pengenalan laluan baharu seperti Kota Kinabalu–Daegu, Subang–Bangkok dan KL–Palembang,” kata dalam kenyataan.
Laluan antara Malaysia dan negara ASEAN menyumbang 2.2 juta penumpang, manakala laluan bukan ASEAN mencatat 2.5 juta penumpang, meningkat 13.3% MoM dan 9.6% YoY.
Trafik domestik mencatat sedikit penurunan 1.3% MoM kepada 4.6 juta penumpang, disebabkan musim cuti sekolah dan umum pada Jun. Namun begitu, ia meningkat 7.4% YoY dan mencapai 94.8% daripada tahap Julai 2019.
Lapangan terbang utama yang menunjuk pertumbuhan positif YoY ialah KLIA T1 & T2: +4.4%, Senai (Johor): +9.7%, Kota Kinabalu: +7.2%, Langkawi: +6.6%, Penang: +4.0% dan Kuching: +0.2%
Jumlah pergerakan kargo pada Julai meningkat 11.4% MoM kepada 93 juta kilogram, namun menurun 2.8% YoY susulan normalisasi corak penghantaran selepas aktiviti frontloading pada awal tahun.
Bagi suku kedua 2025 (2Q25) jumlah penumpang 26.5 juta (+10.5% YoY), setara **99.3% daripada paras pra-pandemik, penumpang antarabangsa 12.9 juta (+6.5% YoY), penumpang domestik 13.7 juta (+14.7% YoY, +11.8% QoQ) dan kargo 272.9 juta kg (+4.4% YoY), dengan peningkatan 3.8% dalam penghantaran antarabangsa.
Norazman turut menekankan bahawa penyatuan fungsi Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) di bawah CAAM akan memperkukuh rangka kawal selia industri penerbangan negara.
“Permintaan global yang kukuh, sambungan strategik dan inisiatif kerajaan menjadi pemacu utama pemulihan ini. CAAM komited untuk menyokong pertumbuhan industri melalui pematuhan kepada amalan terbaik global serta kolaborasi strategik,” ujar beliau. - DagangNews.com








