KUALA LUMPUR 25 Feb - Industri automotif diramal mencatat pertumbuhan positif dengan jumlah keseluruhan jualan kenderaan (TIV) dijangka mencapai 805,000 unit pada 2025, sedikit peningkatan berbanding anggaran jualan sebanyak 800,000 unit pada tahun lalu.
Kenanga Research berkata, ramalan itu disokong oleh pasaran yang semakin berkembang, terutamanya dalam segmen mampu milik seperti tempahan kenderaan Perodua yang kekal lebih daripada 90,000 unit.
Jelasnya, penghantaran bulanan yang stabil dan pelancaran model baharu yang menarik turut membantu menggantikan kenderaan lama, sekali gus memberi sumbangan kepada pertumbuhan pasaran automotif.
Bank pelaburan itu berkata, trend pembeli di pasaran pertengahan yang beralih kepada kenderaan lebih cekap bahan api seperti hibrid, kenderaan elektrik (BEV) dan kenderaan cekap tenaga, serta peningkatan jualan kenderaan dari pengeluar automotif China melalui program pengeluaran tempatan, turut dijangka menyokong sektor automotif.
"Kami juga menjangkakan akan ada semakan terhadap Dasar Automotif Negara (NAP) yang akan memasukkan kenderaan hibrid sekali gus menekankan peranan pentingnya dalam peralihan utama mencapai sasaran negara.
"Sasaran ini adalah untuk memastikan kenderaan elektrik (EV) dan kenderaan hibrid mencapai 15% daripada jumlah keseluruhan industri (TIV) menjelang 2030 dan 38% menjelang 2040," kata Kenanga Research dalam satu nota kajian.
Tambahnya, Hong Leong Industries Bhd juga akan mendapat manfaat daripada permintaan kukuh di pasaran motosikal untuk mencapai rekod jualan sebanyak 680,000 unit pada 2025, dengan Yamaha memegang bahagian terbesar sebanyak 50%.
Ia susulan pelanggan sasaran seperti kumpulan B40 dan M40 dijangka merasai kesan penyelarasan subsidi bahan api yang akan datang.
Selain itu, Kenanga Research menyatakan, jualan kenderaan juga akan disokong oleh BEV baharu yang menikmati pengecualian SST dan insentif kemudahan EV lain sehingga 2025 untuk unit yang sepenuhnya siap (CBU) dan 2027 untuk unit yang dipasang sepenuhnya (CKD).
"Kami menjangkakan lebih banyak insentif yang menggalakkan daripada kerajaan, terutama dalam mempercepatkan kelulusan untuk stesen pengecasan.
"Jumlah stesen pengecas yang dicadangkan kini adalah sebanyak 4,235 (3,354 dibina setakat ini) dan jumlahnya dijangka mencapai 10,000 menjelang akhir 2025," ujarnya.
Kenanga Research berkata, selain faktor harga yang mampu milik, model Perodua dan Proton telah mengatasi jenama bukan nasional dalam jualan kerana mereka menawarkan spesifikasi dan ciri-ciri yang setanding.
Ciri-ciri tersebut termasuk pemacu digital, enjin yang cekap bahan api, kotak gear responsif, sistem bantuan pemandu canggih, bilangan beg udara iaitu empat hingga enam dan sistem pengunci automatik anti-kecurian. - DagangNews.com








