Indonesia dikenakan tarif AS lebih rendah, sektor perladangan Malaysia berdepan risiko - Phillip Capital | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Indonesia dikenakan tarif AS lebih rendah, sektor perladangan Malaysia berdepan risiko - Phillip Capital

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 17 Julai — Penurunan secara mendadak tarif Amerika Syarikat (AS) ke atas Indonesia berisiko menjejaskan eksport sawit oleh syarikat perladangan Malaysia, menurut Phillip Capital.

 

Firma penyelidikan tersebut berkata, sebelum itu Malaysia memiliki kelebihan apabila AS pada 2 April 2025 mahu mengenakan tarif 32 peratus ke atas Indonesia berbanding negara ini pula 24 peratus.

 

Bagaimanapun katanya, AS melakukan semakan semula hasil rundingan terus Presiden Prabowo Subianto dengan rakan sejawatannya, Donald Trump yang menyaksikan penurunan tarif itu kepada 19 peratus.

 

 

 

 

 

"Malaysia kini ada kelemahan, yang boleh menjejaskan pertumbuhan eksport jangka panjang ke AS dan berpotensi membalikkan keuntungan bahagian pasaran," kata Phillip Capital dalam nota kajiannya.

 

Tambahnya, menurut laporan Oil World, bahagian Malaysia dalam import minyak sawit AS meningkat kepada 15% dari Oktober 2024 sehingga Mei 2025 berbanding 6% dalam tempoh yang sama sebelumnya.

 

Sebaliknya kata firma itu, bahagian Indonesia pula menurun kepada 83% daripada 90% sebelum itu, namun keadaan sekarang dijangka sukar dikekalkan kerana Indonesia memulihkan daya saing kosnya.

 

Phillip Capital merujuk statistik Malaysia mengeksport 191,231 tan minyak sawit ke AS pada 2024, menyumbang 48.1% daripada sejumlah 397,961 tan dihantar ke beberapa negara Amerika yang lain.

 

"Walaupun terdapat kebimbangan mengenai tarif yang lebih tinggi, tetapi pasaran AS hanya kecil dengan mewakili 1% hingga 3% daripada keseluruhan eksport minyak sawit Malaysia," kata firma itu.

 

Antara syarikat perladangan di bawah liputannya, IOI Corp Berhad dan SD Guthrie Berhad memperoleh 1% jualan masing-masing daripada AS, manakala pendedahan KLK Berhad sedikit lebih tinggi pada 2%.

 

Sebagai perbandingan kata Phillip Capital, Indonesia mengeksport 8% minyak sawit ke AS pada 2024, dan ini menandakan sensitiviti yang agak tinggi terhadap perubahan dalam dasar perdagangan AS.

 

Sementara itu, AS menyumbang hanya 2.4% daripada penggunaan minyak sawit global, menunjukkan isu perubahan tarif akan memberi kesan minimum kepada aliran perdagangan dunia secara keseluruhan.

 

"Persaingan harga yang sengit antara Malaysia dan Indonesia namun boleh muncul di pasaran utama, seperti India dan China, jika Indonesia mengubah hala yang pada mulanya terikat ke AS," katanya.

 

Berdasarkan perkembangan semasa itu, Phillip Capital mengekalkan pendirian 'neutral' terhadap sektor perladangan kerana pasaran AS merupakan sebahagian kecil eksport syarikat perladangan.

 

Pendapatan sektor itu diunjurkan meningkat 9.9% pada 2025, dipacu pemulihan pengeluaran sederhana dan harga stabil, sebelum merosot 3.8% pada 2026 berikutan jangkaan harga sawit yang lebih lemah.

 

Selain itu katanya, strategi kepelbagaian eksport sawit Malaysia terbukti berkesan, dengan India kekal sebagai pengimport terbesar, diikuti oleh China, Kesatuan Eropah (EU), Kenya dan Turkiye.

 

Langkah syarikat-syarikat tersebut kata Phillip Capital, membantu melindungi sektor itu daripada risiko luaran, termasuk peraturan penebangan hutan EU dan dasar perdagangan AS. - DagangNews.com