Indeks Harga Pengeluar Perkhidmatan meningkat 1% pada suku keempat 2025 - DOSM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Indeks Harga Pengeluar Perkhidmatan meningkat 1% pada suku keempat 2025 - DOSM

KUALA LUMPUR 5 Feb – Indeks Harga Pengeluar Perkhidmatan (IHPRP) Malaysia meningkat 1% pada suku keempat 2025, mengekalkan kadar yang sama bagi tiga suku tahun berturut-turut, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata indeks penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman meningkat 3.1% berbanding peningkatan 3.4% pada suku ketiga 2025.

 

“Peningkatan ini disumbangkan oleh indeks restoran dan aktiviti perkhidmatan makanan bergerak (3.5%) dan aktiviti perkhidmatan minuman (3%),” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Sementara itu, indeks pengangkutan meningkat 2.2% berbanding kenaikan 0.5% pada suku tahun sebelumnya, didorong terutamanya oleh indeks pengangkutan penumpang udara yang mencatatkan peningkatan 7.1%.

 

“Indeks pendidikan juga meningkat 1.5% (suku ketiga 2025: 1.4%), didorong oleh pendidikan menengah (2.3%) dan pendidikan tinggi (1.6%).

 

“Indeks lain yang mencatatkan peningkatan ialah kesihatan (0.7%), aktiviti hartanah (0.6%) dan profesional (0.5%),” katanya.

 

Sementara itu, Mohd Uzir berkata indeks kesenian, hiburan dan rekreasi mencatatkan penurunan 3.8%, selepas peningkatan perlahan 0.4% pada suku ketiga 2025 manakala indeks maklumat dan komunikasi juga mencatatkan penurunan sebanyak 0.1%.

 

Menurutnya, pada asas suku tahunan, IHPRP meningkat 0.3% berbanding 0.1% pada suku tahun sebelumnya, terutamanya disumbangkan oleh indeks pengangkutan (1.2%) dan penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman (0.8%).

 

“Selain itu, indeks aktiviti hartanah, pendidikan dan kesihatan masing-masing mencatatkan peningkatan 0.2% manakala indeks profesional meningkat 0.1%, sama seperti pada suku tahun sebelumnya.

 

“Bagaimanapun, indeks kesenian, hiburan dan rekreasi menyusut sebanyak 3.3% manakala indeks maklumat dan komunikasi kekal tidak berubah,” katanya.

 

Mohd Uzir berkata IHPRP perkhidmatan mencatatkan peningkatan marginal 0.9% pada 2025 berbanding kenaikan 0.7% pada 2024.

 

Peningkatan ini terutamanya didorong oleh indeks penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman (3.4%), diikuti oleh indeks kesenian, hiburan dan rekreasi (1.8%) dan indeks pendidikan (1.3%).

 

“Indeks lain yang mencatatkan peningkatan termasuk kesihatan (0.7%), professional (0.6%) dan aktiviti hartanah (0.2%).

 

“Sebaliknya indeks pengangkutan menyusut 0.4% dan indeks maklumat & komunikasi juga mencatatkan penurunan perlahan 0.1%,” katanya. -- BERNAMA