KUALA LUMPUR 13 Jun - Bursa Malaysia Bhd menambah 19 syarikat baharu ke dalam Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia (F4GBM) dan 14 syarikat lain dimasukkan ke dalam Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia Syariah (F4GBMS).
Perubahan itu dibuat susulan semakan separuh tahunan terkini yang dijalankan pada Jun 2025.
Indeks F4GBM mengukur prestasi syarikat tersenarai awam yang menunjukkan kecairan yang kukuh serta amalan alam sekitar, sosial, dan tadbir urus (ESG) yang mantap.
Konstituennya dipilih daripada Indeks FTSE Bursa Malaysia EMAS, yang merangkumi syarikat yang layak merentasi segmen modal pasaran kecil, sederhana dan besar.
Bagi Indeks F4GBMS pula, ia terdiri daripada konstituen Indeks F4GBM yang patuh syariah, seperti yang ditentukan metodologi saringan Majlis Penasihat Syariah (MPS).

Bursa Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, kini terdapat 160 konstituen dalam Indeks F4GBM, dengan penambahan 19 syarikat dan pengguguran lima syarikat lain.
Penambahan 19 syarikat itu termasuk Berjaya Land Bhd, CapitaLand Malaysia Trust, Carlsberg Brewery Malaysia Bhd, EG Industries Bhd, Genetec Technology Bhd, Genting Plantations Bhd, KIP Real Estate Investment Trust, Malakoff Corp Bhd, MGB Bhd, MNRB Holdings Bhd, NationGate Holdings Bhd, REDtone Digital Bhd, SAM Engineering & Equipment (M) Bhd, Samaiden Group Bhd, Supermax Corp Bhd, UEM Edgenta Bhd, United Plantations Bhd, ViTrox Corp Bhd dan YTL Hospitality REIT.
Lima syarikat yang digugurkan ialah FM Global Logistics Holdings Bhb, Hextar Retail Bhd, Hong Leong Financial Group Bhd, Paramount Corporation Bhd dan Petron Malaysia Refining & Marketing Bhd.

FM Global, Hextar Retail, Paramount dan Petron Malaysia juga telah digugurkan daripada Indeks F4GBMS, yang kini akan mempunyai sejumlah 125 konstituen dengan penambahan 14 syarikat baharu.
Syarikat yang ditambah itu termasuk EG Industries, Genetec Technology, Genting Plantations, Harbour-Link Group Bhd, IOI Properties Group Bhd, Malakoff, MGB, Nationgate, REDtone Digital, SAM Engineering & Equipment, Samaiden, UEM Edgenta, United Plantations, dan ViTrox Corp.
Bursa Malaysia berkata, semua perubahan itu dijadual berkuat kuasa pada permulaan dagangan 23 Jun 2025. - DagangNews.com








