Inari Amertron lebih berhati-hati terhadap segmen telefon pintar akibat perang perdagangan - TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Inari Amertron lebih berhati-hati terhadap segmen telefon pintar akibat perang perdagangan - TA Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 21 Mei — Inari Amertron Berhad lebih berhati-hati terhadap perkembangan segmen telefon pintar dan perindustrian ketika perang perdagangan dicetuskan Amerika Syarikat (AS) dilihat semakin berterusan, menurut TA Securities.


Firma penyelidikan tersebut berkata, kumpulan berkenaan dijangka terus menumpukan usaha kepada pembinaan perniagaan di China dengan mendapatkan lebih banyak kelayakan bagi produk keluarannya selain meningkatkan lagi kecekapan operasi.


"Memandangkan keputusan kewangan yang lebih lemah daripada jangkaan kami, ramalan untuk hasil FY25, FY26 dan FY27 masing-masing dipotong sebanyak 15.2 peratus, 23.3 peratus dan 26.6 peratus," katanya dalam satu nota kajian.


Ia merujuk permintaan yang lebih lemah daripada jangkaan merentas semua segmen perniagaan Inari di samping faktor kerugian RM27.3 juta akibat pertukaran mata wang asing walaupun ada keuntungan teras pada 9MFY25 sebanyak RM196.9 juta.


Bagaimanapun kata firma penyelidikan itu, jika dilihat perbandingan tahun ke tahun (YoY), keuntungan teras pada tempoh sembilan bulan tersebut sebenarnya merosot 19 peratus manakala hasil turun 8.8 peratus kepada RM1.04 bilion.


Kelemahan ini kata TA Securities, disebabkan pemuatan yang lebih rendah dalam semua segmen, termasuk frekuensi radio (RF) apabila turun 4.4 peratus, generik merosot 8.8 peratus, dan optoelektronik menyusut 17.6 peratus.


Firma itu menurunkan harga sasaran kumpulan tersebut daripada RM3.10 kepada RM2.60 sesaham, dengan menilai unjuran pendapatan pada 2026 dan mengekalkan saranan 'beli' kerana yakin terhadap prospek pertumbuhan jangka panjang Inari. - DagangNews.com