IMF unjur KDNK Malaysia berpotensi naik kepada 4.5% pada 2025, 4.0% pada 2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

IMF unjur KDNK Malaysia berpotensi naik kepada 4.5% pada 2025, 4.0% pada 2026

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 30 Julai — Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menaikkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia kepada 4.5 peratus pada 2025 dan 4.0 peratus pada 2026.

 

Agensi global itu berkata, ramalan untuk 2025 ialah 0.4 mata peratusan tinggi daripada unjuran rujukan World Economic Outlook (WEO) April 2025 dan 0.2 mata peratusan lebih tinggi untuk 2026.

 

Sementara itu tambahnya menerusi kemas kini WEO Julai 2025 hari ini, pertumbuhan dijangka 4.1 peratus pada 2025 dan 4.0 peratus pada 2026 dalam pasaran baharu muncul dan ekonomi membangun.

 

"Berbanding ramalan pada April, pertumbuhan 2025 untuk China disemak naik 0.8 mata peratusan kepada 4.8 peratus, mencerminkan aktiviti kukuh daripada jangkaan tempoh separuh pertama 2025," kata IMF.

 

Selain itu, ia berkata, pertumbuhan China pada 2026 juga disemak naik sebanyak 0.2 mata peratusan kepada 4.2 peratus, menunjukkan kesan kadar tarif dikenakan Amerika Syarikat (AS) yang rendah.

 

Di India katanya, pertumbuhan diunjurkan kepada 6.4 peratus pada 2025 dan 2026, setelah disemak sedikit menaik, menggambarkan persekitaran luaran teguh daripada andaian ramalan rujukan April.

 

IMF menekankan bahawa walaupun masih ada ketidaktentuan global, banyak negara harus mengurangkan ketidakpastian akibat dasar dengan menggalakkan rangka kerja perdagangan yang jelas dan telus.

 

"Kerjasama pragmatik adalah penting dalam keadaan apabila beberapa peraturan sistem perdagangan global, dalam bentuk semasa mereka, mungkin tidak berfungsi seperti yang diharapkan," katanya.

 

Situasi itu tambahnya, memerlukan usaha inisiatif pelbagai hala dan memodenkan peraturan dagangan yang boleh dilaksanakan, sambil mencari penyelesaian serantau mengenai perkara lain," katanya.

 

Lebih-lebih lagi, tambah IMF, rundingan secara dua hala boleh membantu meredakan isu ketegangan perdagangan serta harus bertujuan untuk mengurangkan tahap halangan perdagangan dan pelaburan.

 

Pada masa sama katanya, usaha berterusan itu tidak meningkatkan kemelut perdagangan terhadap pihak ketiga, kerana dibimbangi boleh meningkatkan pula ketegangan dengan rakan dagangan yang lain.

 

"Rundingan sedemikian harus diteruskan dengan matlamat utama untuk menangani punca ketegangan terutama ketidakseimbangan luaran yang timbul daripada pilihan dasar dalaman," kata agensi itu.

 

Perkembangan tersebut tambahnya, akan melibatkan usaha banyak negara mengenal pasti dan mengambil langkah untuk menyelesaikan herotan asas serta rumusan baharu yang bersifat lebih tahan lama.

 

Kata IMF, pelaksanaan subsidi secara luas dan dasar perindustrian domestik yang bertujuan untuk melindungi kepentingan eksport sesebuah negara boleh menjadi mahal serta mengganggu perdagangan.

 

Ia berkata bank pusat mesti teliti menentu dasar monetari kepada keadaan khusus negara mengekalkan harga dan kestabilan kewangan ketika ketegangan perdagangan yang berpanjangan dan tarif berubah.

 

"Di negara-negara yang mengenakan tarif ke atas rakan perdagangan mereka sendiri sama ada dengan memulakan atau membalas balik, tindakan tersebut merupakan bentuk kejutan bekalan," katanya.

 

Bank pusat di negara-negara ini menghadapi pertukaran yang sukar antara melindungi sektor benar dan menghalang kenaikan harga yang dijangkakan daripada bertukar kepada inflasi secara lebih tinggi.

 

IMF meramalkan negara yang tidak mengenakan tarif, sebaliknya, menghadapi kejutan permintaan manakala bank pusat boleh, dalam kes ini, mengurangkan kadar dasar secara beransur. - DagangNews.com