KUALA LUMPUR 20 Mac - IKEA, peruncit perabot rumah Sweden, mengesahkan rancangan membuka kedai fizikal di Sarawak sebagai sebahagian daripada usahanya mengembangkan kehadirannya di Malaysia.
Pengarah runcit negara IKEA Malaysia, Malcolm Pruys berkata sebagai langkah pertama, IKEA melancarkan platform e-dagang pada 4 Februari lalu, khusus untuk pelanggan di Sabah dan Sarawak bagi menjadikan produknya lebih mudah diakses di seluruh negara.
“Kedai dalam talian yang berdedikasi ini sejajar dengan komitmen kami untuk mencari cara baharu untuk pelanggan berinteraksi dengan jenama kami.
“Kami sedang menangani kebolehcapaian utama dan masalah kos yang dialami sebelum ini oleh pelanggan di rantau ini, menjadikan membeli-belah produk IKEA mereka kini lebih mudah dan senang,” katanya semasa Jelajah Media dan Taklimat di Pusat Pemenuhan Ikea, Taman Perindustrian Demak Laut di sini hari ini.

Pruys berkata apabila inflasi menjadi sederhana, Ikea percaya bahawa sekarang adalah masa untuk peruncit melabur dalam penentuan harga dan bukannya keuntungan.
“IKEA memahami bahawa orang ramai pada umumnya lebih berhati-hati apabila berbelanja untuk perabot rumah.
“Dengan platform e-dagang yang berdedikasi, IKEA memastikan pelanggannya di Malaysia dapat menikmati harga mampu milik ini,” katanya.
Beliau menambah komitmen kukuh Sarawak terhadap kelestarian alam sekitar sepadan dengan usaha IKEA untuk memberi kesan positif kepada manusia, masyarakat dan planet ini. - DagangNews.com








