KUALA LUMPUR 9 Julai — IHH Healthcare Berhad ini meneroka pasaran baharu berpotensi di Indonesia dan Vietnam dalam usaha membina skala untuk mengimbangi peningkatan kos penjagaan kesihatan serantau.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prem Kumar Nair berkata, Indonesia menarik kerana pembaharuan penjagaan kesihatan dan kelonggaran pemilikan asing, manakala Vietnam muncul sebagai pasaran berkembang pesat.
Beliau menambah, pengendali rangkaian hospital berpangkalan Malaysia itu ketika ini mengendalikan lebih daripada sebanyak 80 hospital di sejumlah 10 negara, termasuk Singapura, India dan China.
"Kami menerima ramai pesakit dari Vietnam ke dalam operasi kami di Singapura," katanya yang merujuk kejayaan IHH Healthcare sebelum ini berjaya membeli Island Hospital Sdn Bhd di Malaysia pada 2024.
Sementara itu tambah Prem Kumar, sebuah anak syarikatnya di Turki, Acibadem dan sekutunya di India, Fortis Healthcare pula turut membeli hospital di pasaran masing-masing dalam tempoh dua tahun lepas.
Kumpulan penjagaan kesihatan tersebut mempunyai AS$14 bilion (kira-kira RM59.51 bilion) dalam permodalan pasaran dan merupakan pengendali hospital tersenarai paling bernilai di Asia Tenggara.
Hasrat untuk meluaskan pengembangan di rantau ASEAN ini datang ketika IHH Healthcare berusaha untuk mengimbangi peningkatan kos import dalam industri kesihatan swasta dengan beberapa pendekatan.
Antaranya kata Prem Kumar, dengan kumpulan tersebut cuba memperoleh peralatan perubatan, bahan habis pakai dan ubat generik secara pukal sebagai langkah bagi mengurangkan lagi kos tinggi produk import.
IHH Healthcare juga merancang menyatukan kehadiran di China dengan menjadikan perniagaan kliniknya sebagai operasi yang menguntungkan dan menyaksikan peningkatan bilangan pesakit di hospitalnya.
Bagaimanapun, keputusan China melonggarkan sekatan ke atas pelaburan asing dalam sektor penjagaan kesihatan tidak mempengaruhi kumpulan itu terus berkembang dalam ekonomi kedua terbesar dunia itu.
"Di China, sektor awam adalah pesaing sangat besar kepada penjagaan kesihatan swasta dan kami adalah satu-satunya pengendali asing yang mempunyai gabungan klinik, dan membina ekosistem," katanya.
Keutamaan syarikat itu kata Prem Kumar, termasuk memanfaatkan peluang pasaran sedia ada, dengan ia sudah komited mengembangkan kapasiti katil sebanyak 33% dari 2024 hingga 2028. - DagangNews.com








