ICT Zone Asia raih tempahan pembelian RM17.29 juta bagi penyewaan perkakasan ICT | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

ICT Zone Asia raih tempahan pembelian RM17.29 juta bagi penyewaan perkakasan ICT

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 20 Jan – ICT Zone Asia Bhd mengumumkan anak syarikat milik penuhnya, ICT Zone Ventures Berhad, telah menerima tempahan pembelian bernilai RM17.29 juta daripada Juricco Holding Sdn Bhd bagi penyewaan perkakasan dan perisian teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk tempoh 60 bulan.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, tempahan pembelian bertarikh 20 Januari 2026 itu melibatkan penyewaan perkakasan dan perisian ICT termasuk komputer riba, komputer meja serta peranti periferal berkaitan, yang akan dibekalkan kepada sebuah agensi kerajaan.

 

"Tempahan tersebut tidak melibatkan sebarang penyediaan perkhidmatan ICT," kata kenyataan itu.

 

Juricco, yang diperbadankan pada 2006, terlibat terutamanya dalam pembekalan dan penyewaan peralatan komputer, manakala ICT Zone Ventures merupakan penyedia perkhidmatan ICT, skim pelaburan, pembiayaan teknologi serta perkhidmatan penyewaan dan pemfaktoran.

 

Tempahan pembelian itu adalah untuk tempoh lima tahun, dengan tarikh permulaan akan ditentukan dan dipersetujui oleh kedua-dua pihak kelak.

 

Bagi tujuan pembiayaan, ICT Zone Asia bercadang menggunakan pinjaman bank dan/atau dana dalaman untuk membeli perkakasan dan perisian ICT yang akan disewakan.

 

Dari segi kesan kewangan, pesanan pembelian tersebut tidak memberi sebarang kesan ke atas modal saham terbitan dan struktur pegangan saham utama syarikat.

 

Namun, ia dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan sesaham dan aset bersih sesaham kumpulan sepanjang tempoh kontrak.

 

Bagaimanapun, tahap gearan kumpulan dijangka meningkat berikutan penggunaan pinjaman bank bagi membiayai sebahagian daripada pembelian perkakasan dan perisian ICT untuk memenuhi pesanan pembelian berkenaan.

 

ICT Zone Asia turut memaklumkan kumpulan telah berpengalaman dalam perniagaan penyewaan perkakasan dan perisian ICT, justeru risiko perniagaan berkaitan tempahan pembelian ini adalah terhad kepada aspek pelaksanaan seperti penghantaran yang tepat pada masanya dan sepenuhnya. - DagangNews.com