iCents meterai taja jamin dengan Alliance Islamic untuk IPO di Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

iCents meterai taja jamin dengan Alliance Islamic untuk IPO di Pasaran ACE

(Dari kiri ke kanan) : Pengarah Eksekutif iCents Group, Tan Wei Ying, Pengarah Eksekutif iCents Group, Foo Siang Leng, Pengarah Urusan iCents Group, Ir. Ts. Ong Mum Fei, Ketua Pegawai Eksekutif Alliance Islamic Bank Berhad, Rizal IL-Ehzan Fadil Azim, Ketua Pegawai Korporat & Perbankan Institusi Kumpulan Alliance Bank Malaysia Berhad, Teoh Chu Lin, Ketua merangkap Naib Presiden Kanan, Bahagian Jangkauan & Permulaan Pasaran Modal Islam Alliance Islamic Bank Berhad, Lim Shueh Li.
Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 6 Jun – Penyedia perkhidmatan fasiliti dan bilik bersih, iCents Group Holdings Berhad memeterai perjanjian taja jamin dengan Alliance Islamic Bank Berhad (AIS) bagi tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad.

 

iCents Group dan anak syarikatnya menyediakan perkhidmatan bilik bersih meliputi kejuruteraan, perolehan, pembinaan, ujian dan pentauliahan (EPCC), serta pengeluaran kelengkapan dan produk berkaitan.

 

Pengarah Urusan iCents Group, Ir. Ts. Ong Mum Fei berkata, penandatanganan perjanjian itu menandakan satu lagi langkah penting ke arah penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

“Ia akan menyediakan sumber kewangan dan fleksibiliti untuk pertumbuhan strategik kami. Ketika kami memperluas keupayaan, kami komited memperkukuh kedudukan daya saing dalam industri bilik bersih tempatan serta melaksanakan pelan peluasan pasaran di Indonesia, Singapura, dan Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Sementara itu, Pengarah Eksekutif iCents Group, Foo Siang Leng berkata, prospek industri bilik bersih kekal positif disokong pertumbuhan berterusan sektor semikonduktor dan elektronik, pusat data, farmaseutikal serta makanan dan minuman, selain inisiatif di Bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.

 

“Syarikat ingin merebut peluang ini menerusi penglibatan lebih luas dalam industri utama berkenaan dengan mengembangkan keupayaan operasi, jangkauan pasaran, dan kepelbagaian produk serta segmen sasaran,” katanya.

 

Dengan pengalaman hampir 10 tahun, iCents Group memiliki rekod prestasi kukuh dalam penyampaian rumusan menyeluruh yang disesuaikan untuk industri berketepatan tinggi seperti semikonduktor, elektronik, sains hayat, dan farmaseutikal.

 

Penawaran IPO iCents Group merangkumi terbitan awam sebanyak 112.50 juta saham biasa baharu atau 22.5% daripada modal saham terbitan selepas IPO, serta tawaran untuk jualan sebanyak 30 juta saham sedia ada bersamaan 6.0%.

 

Daripada jumlah saham baharu itu, 25 juta diperuntukkan kepada orang awam melalui pengundian, 10 juta kepada pengarah, kakitangan dan pihak yang menyumbang kepada kejayaan kumpulan (Peruntukan Borang Merah Jambu), 15 juta melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih, manakala baki 62.50 juta saham diperuntukkan kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan MITI.

 

Setakat ini, kumpulan itu telah menyiapkan pelbagai projek merentasi industri termasuk pembuatan semikonduktor dan elektronik, farmaseutikal, pemprosesan kelapa sawit, kultur tisu, makanan dan minuman, sains hayat serta pusat data.

 

Selain kawalan partikel, bilik bersih turut menstabilkan faktor persekitaran seperti suhu, kelembapan, tekanan, pencahayaan, getaran, dan cas elektrostatik. 

 

Kesemua 30 juta saham tawaran akan dijual kepada pelabur terpilih menerusi penempatan persendirian.

 

Menerusi perjanjian penjaminan itu, AIS akan menjamin keseluruhan 35 juta saham baharu yang ditawarkan kepada orang awam dan di bawah Peruntukan Borang Merah Jambu.

 

iCents Group dijangka disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia menjelang Julai 2025 dengan AIS sebagai penasihat utama, penaja, penjamin tunggal, dan ejen penempatan bagi urus niaga IPO tersebut.

- DagangNews.com