KUALA LUMPUR 14 Julai – Ibrahim & Sons Engineering Sdn Bhd (IBSE) memfailkan tuntutan balas terhadap Steel Hawk Engineering Sdn Bhd atas dakwaan fitnah, selepas syarikat itu didakwa menyiarkan tuduhan penipuan, salah laku tidak beretika dan pelanggaran integriti menerusi pengumuman kepada Bursa Malaysia, lapor Free Malaysia Today.
Dalam pernyataan pembelaan yang difailkan di mahkamah, IBSE menafikan semua dakwaan yang dikemukakan Steel Hawk Engineering dan mendakwa syarikat itu melaksanakan strategi media yang dirancang lebih awal untuk mencemarkan reputasi IBSE serta para pengarahnya sebelum kes didengar.
Menurut IBSE, pernyataan tuntutan difailkan pada pukul 5.55 petang pada 21 April 2026 sebelum pengumuman dibuat kepada Bursa Malaysia, manakala sebuah portal berita tempatan menerbitkan laporan mengenainya pada 7.31 malam hari yang sama.
Syarikat itu mendakwa kronologi tersebut menunjukkan wujud usaha yang dirancang bagi menggambarkan IBSE dan para pengarahnya sebagai pihak yang melakukan penipuan.
Malah, IBSE turut mendakwa Steel Hawk Engineering sengaja menangguhkan penyampaian writ saman kepada defendan selama tujuh hari walaupun telah menyiarkan dakwaan tersebut kepada umum.
Menurut IBSE, tindakan undang-undang dan penerbitan kenyataan berkenaan bukan sekadar bertujuan mendapatkan remedi undang-undang, sebaliknya didakwa bertujuan menjejaskan hubungan syarikat itu dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta memudahkan proses novasi projek kepada Steel Hawk Engineering.
Pada April lalu, Steel Hawk Engineering memfailkan saman terhadap IBSE dan para pengarahnya dengan mendakwa mereka melakukan pecah amanah, menyalahgunakan dana yang diterima daripada TNB serta membuat representasi palsu berkaitan kerjasama dalam projek bernilai RM14 juta.
Di bawah perjanjian kerjasama itu, Steel Hawk Engineering berperanan sebagai penyumbang kewangan utama dengan menyediakan 60% modal kerja bagi setiap pesanan pembelian yang dikeluarkan IBSE, selain menyediakan pendahuluan RM9.2 juta secara berperingkat serta mendapatkan jaminan bank bagi memenuhi keperluan kontrak TNB.
Bagaimanapun, IBSE menafikan dakwaan bahawa syarikat itu gagal memaklumkan pembayaran yang diterima daripada TNB.

Sebaliknya, IBSE berkata semua maklumat berkaitan pembayaran, tuntutan, invois dan kemajuan projek telah disalurkan kepada Steel Hawk Engineering dari semasa ke semasa menerusi e-mel.
Menurut IBSE, pertikaian sebenar bermula apabila syarikat itu enggan menandatangani dokumen pengesahan baki pada tahun lalu kerana mendapati jumlah RM14.4 juta yang didakwa terhutang kepada Steel Hawk Engineering tidak selaras dengan rekod transaksi sebenar.
IBSE mendakwa rekod syarikat menunjukkan jumlah sebenar yang diterima daripada Steel Hawk Engineering sehingga 31 Disember tahun lalu hanyalah RM4.7 juta, sekali gus mewujudkan perbezaan belum diselaraskan sebanyak RM9.6 juta.
Syarikat itu turut mendakwa Steel Hawk Engineering gagal memberikan penjelasan atau dokumen sokongan bagi mengesahkan baki yang dituntut.
Selain itu, IBSE turut mempertikaikan dakwaan bahawa pembayaran RM2.76 juta oleh TNB ke dalam akaun Bank Islam Malaysia Berhad adalah sebahagian daripada pembayaran bagi tiga projek terbabit.
Sebaliknya, syarikat itu menjelaskan pembayaran tersebut berkaitan kontrak lain dan urusan operasi yang tidak mempunyai kaitan dengan perjanjian antara kedua-dua pihak.
Dalam tuntutan balasnya, IBSE turut berhujah bahawa pengumuman yang dibuat secara sukarela kepada orang awam sebelum writ saman disampaikan tidak dilindungi oleh prinsip keistimewaan mutlak.
IBSE memaklumkan pihaknya telah mengemukakan surat tuntutan bertarikh 8 Mei 2026 supaya Steel Hawk Engineering menarik balik kenyataan tersebut, namun dakwaan itu tidak ditarik balik.
Sehubungan itu, IBSE menuntut penghakiman terhadap Steel Hawk Engineering bagi mendapatkan bayaran RM8.3 juta yang didakwa merupakan hutang sah kepada syarikat, selain menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan punitif, serta perintah injunksi bagi menghalang sebarang penerbitan lanjut terhadap kenyataan yang dipertikaikan.
Pernyataan pembelaan dan tuntutan balas itu difailkan bagi pihak IBSE oleh firma guaman Law Chambers of Vin Sa & Ian. - DagangNews.com








