KUALA LUMPUR 29 Julai — Hutang Kerajaan Persekutuan mencecah RM1.3 trilion pada akhir Jun 2025 namun dengan kadar pengumpulan yang lebih perlahan, kata Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying.
Peningkatan daripada RM1.25 trilion pada akhir 2024 dipacu keperluan pembiayaan untuk perbelanjaan pembangunan, termasuk infrastruktur awam, pendidikan, penjagaan kesihatan dan perlindungan sosial.
Tambah beliau, kadar pertumbuhan hutang tahunan menjadi sederhana daripada 10.2% pada 2022 kepada 6.4% pada 2024, dengan penurunan selanjutnya kepada sekitar 6% yang diunjurkan untuk 2025.
"Bagi menyokong kemampanan fiskal jangka panjang, kerajaan sedang memperluaskan asas hasil, dan mengoptimumkan perbelanjaan awam," katanya semasa sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Usaha berkenaan kata Hui Ying, melalui rasionalisasi subsidi dan kajian semula perbelanjaan secara komprehensif, sambil memastikan peminjaman ditujukan kepada projek pembangunan berimpak tinggi.
Kerajaan juga tambah beliau, telah mengehadkan pendedahan jaminan kewangannya pada sebanyak 25% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar di bawah Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal.
Selain itu katanya, kerajaan berusaha mempromosikan lebih banyak model 'bayar pengguna' digariskan melalui Pelan Induk Perkongsian Awam-Swasta 2030 (PIKAS 2030) untuk mengurangkan tekanan fiskal.
"Jumlah liabiliti termasuk jaminan komited dan obligasi perkongsian awam-swasta, berjumlah RM384.6 bilion pada akhir Mac 2025, iaitu kurang berbanding RM384.8 bilion akhir 2024," kata Hui Ying.
Bagi mengukuhkan tadbir urus, meningkatkan akauntabiliti, dan meningkatkan kecekapan institusi, kerajaan tambahnya, sedang dalam proses untuk merangka Rang Undang-undang Perolehan Kerajaan.
Pada masa yang sama kata beliau, satu lagi rang undang-undang bertujuan mengawal selia perusahaan syarikat milik kerajaan juga sedang dirangka untuk menambah baik perkara tersebut. - DagangNews.com








