HRD Corp gantung tugas tiga pengurusan tertinggi susulan laporan PAC, Audit Negara dan SPRM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

HRD Corp gantung tugas tiga pengurusan tertinggi susulan laporan PAC, Audit Negara dan SPRM

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 6 Feb – Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) menggantung tugas tiga anggota pengurusan tertingginya susulan penemuan dan syor daripada laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Ketua Audit Negara serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

 

HRD Corp dalam kenyataannya memaklumkan, tindakan tersebut diambil berikutan isu berkaitan pengurusan levi tidak digunakan, pemerolehan Menara Ikhlas serta pengurusan pelaburan ekuiti agensi berkenaan. 

 

Ia turut merangkumi penemuan terbaharu berkaitan Sistem Teras Baharu (New Core System – NCS) bernilai RM14 juta yang tertangguh lebih empat tahun selepas mengalami tiga kegagalan Ujian Penerimaan Pengguna (UAT).

 

 

 

 

 

 

Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Shamir Aziz berkata langkah pemulihan dan pengukuhan tadbir urus itu selaras dengan aspirasi Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan yang menekankan keperluan kepada standard integriti, ketelusan dan akauntabiliti lebih tinggi dalam institusi tenaga kerja negara.

 

Beliau berkata, pendekatan itu bertujuan memastikan pengurusan HRD Corp memberikan impak positif kepada majikan dan tenaga kerja, sejajar dengan semangat ‘MADANI Bekerja’.

 

“HRD Corp akan melaksanakan siasatan dalaman yang telus dan berintegriti dengan mandat, skop serta terma rujukan yang jelas. 

 

“Proses ini melibatkan semakan dokumen, rekod kewangan, kelulusan, minit mesyuarat dan jejak audit, selain pengambilan keterangan serta pengesahan fakta daripada pegawai terlibat, tertakluk kepada prinsip keadilan asasi dan keperluan kerahsiaan siasatan,” katanya.

 

Dalam perkembangan berkaitan, HRD Corp memaklumkan bahawa dalam minggu pertama pelantikan Ketua Eksekutif baharu, agensi itu berjaya menyelesaikan kira-kira 18% daripada portfolio pelaburan berstruktur yang tertunggak dengan pulangan berjumlah RM151.8 juta.

 

Menurut kenyataan itu, pencapaian tersebut mencerminkan usaha pemulihan yang pantas selain membantu memastikan pelaburan HRD Corp lebih terjamin dan dilindungi.

 

Bagi memperkukuh tadbir urus dan pemantauan, HRD Corp turut menetapkan bahawa pelaksanaan program latihan yang diluluskan hanya boleh dijalankan selepas tempoh minimum antara 21 hari hingga tiga bulan daripada tarikh kelulusan.

 

Tempoh berkenaan bertujuan memberi ruang kepada majikan dan penyedia latihan membuat perancangan rapi termasuk tempahan lokasi, pendaftaran peserta dan penyelarasan logistik.

 

HRD Corp turut mengakui kelemahan pemantauan sistematik terhadap program latihan yang diluluskan sebelum ini telah menjejaskan kawalan dan pengawasan tadbir urus, termasuk kes latihan dilaksanakan sebelum kelulusan diperoleh dan permohonan geran dikemukakan hanya selepas latihan selesai.

 

 

 

 

 

 

Sehubungan itu, agensi berkenaan akan memperkukuh rangka kerja pemantauan dan penguatkuasaan secara berperingkat dengan menempatkan pegawai di lapangan bagi menyelia pelaksanaan latihan.

 

HRD Corp yakin langkah penambahbaikan itu akan memperkukuh pematuhan, akauntabiliti serta tadbir urus yang lebih baik selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, khususnya teras kesejahteraan, keadilan sosial, keberdayaan dan ihsan bagi memastikan manfaat pembangunan negara dapat dirasai oleh seluruh lapisan masyarakat dan industri. - DagangNews.com