KUALA LUMPUR 27 Nov – HRD Awards 2025 mencatat kejayaan baharu apabila menerima 770 penyertaan, lonjakan 277 penyertaan berbanding 493 tahun lalu, sekali gus menjadi jumlah tertinggi dalam sejarah penganjurannya sejak diperkenalkan pada 2001.
Majlis Malam Gala HRD Awards 2025 yang dianjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) dengan sokongan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) berlangsung di Pusat Dagangan & Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) dan menghimpunkan majikan paling berwawasan, penyedia latihan inovatif serta jurulatih cemerlang dalam satu platform pengiktirafan berprestij modal insan negara.
Berteraskan tema ‘Malam Penuh Keanggunan’, majlis gilang-gemilang itu telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha KESUMA, Datuk Azman Mohd Yusof, bagi meraikan peneraju pembangunan tenaga kerja masa hadapan Malaysia.
HRD Corp dalam kenyataan berkata, peningkatan mendadak kepada 770 penyertaan itu mencerminkan tahap keyakinan industri yang semakin tinggi terhadap HRD Awards sebagai penanda aras nasional kecemerlangan pembangunan sumber manusia, selain menonjolkan landskap pembelajaran dan pembangunan negara yang semakin matang serta kompetitif.
Sejak diperkenalkan pada 2001, HRD Awards terus kekal sebagai platform pengiktirafan paling berprestij dalam ekosistem pembangunan modal insan.
Edisi ke-23 tahun ini mencatat satu lagi pencapaian penting, sekali gus mengukuhkan kedudukan anugerah tersebut dalam landskap pembangunan bakat negara.
Lonjakan 277 penyertaan dalam tempoh setahun turut mencerminkan peningkatan agresif pelaburan majikan dalam latihan semula (reskilling) dan peningkatan kemahiran (upskilling) tenaga kerja, sejajar dengan keperluan mendesak industri terhadap bakat berkemahiran tinggi dalam era digital dan automasi.
Sementara itu, Ketua Eksekutif HRD Corp, Dr Syed Alwi Mohamed Sultan, dalam kenyataannya berkata, setiap tahun HRD Awards mengiktiraf majikan, penyedia latihan dan individu cemerlang yang melangkaui jangkaan dalam membangunkan bakat, mempromosi inovasi serta meningkatkan standard pembangunan tenaga kerja di seluruh Malaysia.
“Perjalanan ini membolehkan rakyat Malaysia dari setiap pelosok negara mendapat akses kepada peluang pembelajaran yang bermakna bagi mempersiapkan mereka menghadapi cabaran, menyesuaikan diri dengan perubahan pesat dan merebut peluang baharu,” katanya.
Sebanyak 40 anugerah berprestij telah disampaikan merangkumi tujuh kategori utama, iaitu:
• Anugerah Menteri Sumber Manusia
• Anugerah Ikon Pembelajaran dan Pembangunan
• Anugerah Pengiktirafan Khas ASEAN Tahun Kemahiran
• Anugerah Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia
• Anugerah Kecemerlangan Serantau
• Anugerah Kecemerlangan
• Anugerah Pasukan Pembelajaran dan Pembangunan Terbaik Tahun Ini
Para pemenang dipilih melalui proses penilaian pelbagai peringkat yang teliti bagi memastikan ketelusan, integriti dan kredibiliti. Panel penilai terdiri daripada pakar industri terkemuka serta Jawatankuasa Pengurusan Kanan HRD Corp bersama wakil MEF, SME Corp, TalentCorp, MDEC dan MPC.
Azman dalam ucapannya menegaskan penyertaan luar biasa itu mempamerkan tahap kesedaran tinggi bahawa modal insan merupakan asas kepada pembangunan negara yang mampan dan inklusif.
“Tidak kiralah sejauh mana majunya teknologi atau infrastruktur yang kita punyai, akhirnya kemahiran, kreativiti dan daya tahan rakyat kita jugalah yang akan menentukan hala tuju masa depan negara ini,” katanya.
Majlis turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) KESUMA, Sutekno Ahmad Belon serta Dr Syed Alwi selaku Ketua Eksekutif HRD Corp.
Menurut HRD Corp, penganjuran HRD Awards 2025 terus mengukuhkan komitmen Malaysia dalam melahirkan bakat bertaraf dunia dan memperkukuh agenda pembangunan modal insan nasional, sejajar dengan aspirasi membina tenaga kerja yang berkemahiran, progresif dan bersedia untuk masa hadapan.
Untuk senarai penuh pemenang dan maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari hrdcorp.gov.my/hrd-awards-2025. - DagangNews.com








