KUALA LUMPUR 7 Feb - Honda Malaysia merekod pencapaian mengagumkan dengan penjualan lebih 11,300 unit CR-V Generasi Keenam, menyaksikan model itu menjadi pilihan nombor satu dalam segmen SUV sederhana pada 2024, dengan bahagian pasaran sebanyak 36%.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Hironobu Yoshimura berkata, sejak dilancarkan pada Disember 2023, CR-V diterima dengan baik oleh pasaran, mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam segmennya.
Katanya, permintaan yang semakin meningkat dapat dilihat dalam pertumbuhan 40% tahun ke tahun dalam segmen sama.

Menurut beliau, secara khusus, CR-V adalah model ketiga paling laris dalam barisan model Honda Malaysia pada 2024.
"Pengenalan varian 2.0L e:HEV RS telah memberi tenaga baharu kepada pasaran dan melebihi jangkaan kami dengan sumbangan 20% kepada jualan keseluruhan CR-V.
"Selain itu, dalam segmen SUV sederhana hibrid, varian 2.0L e:HEV RS memegang bahagian pasaran yang paling besar iaitu 87%, menunjukkan reaksi positif pasaran terhadap teknologi hibrid canggih Honda, walaupun dalam landskap yang sangat berdaya saing," katanya dalam satu kenyataan.
Yoshimura berkata, varian petrol juga menunjukkan prestasi yang luar biasa, dengan varian E muncul sebagai pilihan utama dalam kalangan pelanggan, mencatatkan 40% daripada jumlah jualan CR-V.

"Pencapaian ini tidak akan berlaku tanpa sokongan dan kepercayaan yang tidak berbelah bahagi daripada pelanggan kami yang dihargai.
"Ia menguatkan tekad kami untuk melebihi jangkaan dan memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan," ujarnya.
SUV kegemaran Malaysia itu menawarkan pengendalian yang lancar dan senyap, dikuasakan oleh enjin generasi baharu 2.0L e:HEV yang menghasilkan tork 335Nm dan kuasa maksimum 184PS.
Pemilik CR-V dapat menikmati prestasi hibrid berkuasa tinggi dan kecekapan bahan api yang luar biasa.

Bagi mereka yang mencari pengalaman pemanduan yang lebih mengujakan, CR-V juga ditawarkan dengan enjin VTEC Turbo 1.5L yang canggih yang menghasilkan kuasa maksimum 193PS dan tork puncak 243Nm.
Dalam memastikan kestabilan yang dipertingkatkan, varian V dilengkapi dengan Real Time AWD canggih untuk membantu pemandu mengekalkan kawalan dalam pelbagai keadaan jalan.
CR-V turut memiliki reka bentuk badan yang sporty, dengan bahagian luar yang moden dan sofistikated seperti gril depan dengan corak jala, lampu hadapan dan lampu belakang LED penuh serta isyarat putar LED berurutan depan.
Ruangan kabin CR-V direka dengan elegan dan dilengkapi dengan ciri premium.

Selain lampu ambien dalaman yang tersedia dalam varian V dan ke atas, varian e:HEV RS dilengkapi dengan sistem bunyi premium Bose dengan 12 pembesar suara dan meter TFT 10.2 inci.
CR-V terkenal dengan kabin yang luas, menawarkan keselesaan premium dan ruang kaki yang luas untuk penumpang belakang.
Di samping itu, ia turut dilengkapi dengan but yang serba boleh dengan kapasiti 589 liter dengan tempat duduk belakang tegak, yang boleh diluaskan kepada 1,072 liter apabila tempat duduk dilipat rata.

Sistem Tailgate Kuasa Tanpa Sentuhan pula memudahkan pemilik ketika memuat dan mengeluarkan barang.
Honda Malaysia mengutamakan keselamatan dalam CR-V dengan menyepadukan pelbagai ciri keselamatan canggih.
Antaranya termasuk Honda CONNECT, Honda SENSING yang dinaik taraf dan penambahbaikan keselamatan tambahan dalam varian e:HEV, seperti Adaptive Driving Beam dan sistem kamera 360 darjah. - DagangNews.com








