KUALA LUMPUR 27 April - UEM Sunrise Bhd dilihat sedang melalui fasa penstrukturan semula strategik di bawah kepimpinan baharu, dengan pendekatan lebih praktikal dan berasaskan pelaksanaan yang dijangka memacu semula nilai syarikat, kata Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB).
HLIB menaik taraf UEM Sunrise daripada ‘Pegang’ kepada ‘Beli’ serta menaikkan harga sasaran kepada 90 sen daripada 56 sen sebelum ini, berdasarkan diskaun lebih rendah sebanyak 60% berbanding 75% kepada anggaran nilai aset bersih terlaras (RNAV) sebanyak RM2.25.
Menurut HLIB, saham syarikat itu pernah mencatatkan lonjakan ketara sekitar 580% daripada 18.2 sen pada 17 Oktober 2022 kepada RM1.23 pada 20 Mei 2024, didorong sentimen pelabur terhadap tema pertumbuhan Johor yang menjadi pemangkin utama.
Bagaimanapun, momentum tersebut kemudiannya melemah apabila pelaksanaan projek di Johor tidak seiring jangkaan pasaran, dengan nilai pelancaran hanya RM178 juta pada 2023, RM810 juta pada 2024 dan RM652 juta pada 2025, sekali gus ketinggalan berbanding beberapa pemain hartanah lain.
HLIB berkata ketidakseimbangan antara jangkaan tinggi pelabur dan pelaksanaan yang perlahan telah menyebabkan harga saham mengalami penyederhanaan semula selepas fasa kenaikan sebelum ini.
Namun begitu, bank pelaburan itu menegaskan UEM Sunrise masih memiliki bank tanah dan aset strategik yang besar, sekali gus menyimpan potensi nilai yang belum diteroka sepenuhnya sekiranya diurus secara lebih efektif.
Kepimpinan baharu pacu strategi pelaksanaan
HLIB turut menekankan bahawa perubahan kepimpinan sering menjadi pemangkin penting dalam memperkukuh prestasi pemaju hartanah, dengan merujuk kepada transformasi yang berlaku di Sime Darby Property Bhd selepas pelantikan Datuk Seri Azmir Merican pada 2020.
Dalam kes UEM Sunrise, Shaharul Farez Hassan telah dilantik sebagai CEO baharu pada November 2025, menggantikan kekosongan jawatan selepas CEO terdahulu berundur pada Disember 2024.
HLIB berkata pengurusan kini menggerakkan strategi lebih praktikal dan berasaskan pelaksanaan bagi membuka nilai daripada bank tanah utama, khususnya di Johor yang terus menjadi pemangkin utama pertumbuhan kumpulan.
Antara pelan utama termasuk penjualan tanah secara terus dan usaha sama (JV), mempercepat pelancaran projek, meningkatkan pendapatan berulang serta memperkukuh pulangan pemegang saham melalui dividen lebih tinggi.
Johor jadi tumpuan utama penjanaan nilai aset
Sekitar 405 hektar tanah di Gerbang Nusajaya telah dikenal pasti untuk penjanaan nilai daripada aset, dengan potensi hasil sehingga RM4 bilion, yang disifatkan sebagai “low-hanging fruit” untuk menjana nilai dalam tempoh lebih dekat.
Syarikat itu turut merancang meningkatkan pelancaran di Johor daripada RM652 juta pada FY25 kepada RM1 bilion pada FY26 dan RM1.5 bilion pada FY27, selain pelancaran produk industri pertama di Gerbang Nusajaya Industrial Park menjelang suku pertama 2027.
HLIB berkata sekiranya pelaksanaan berjaya, UEM Sunrise berpotensi kembali kukuh sebagai proksi Johor yang utama, disokong penjanaan nilai aset jangka pendek serta saluran pembangunan yang lebih mampan.
Bagi FY26, pendapatan kumpulan dijangka disokong oleh projek utama di wilayah Tengah iaitu The Minh, Connaught One dan Residensi Zig yang kini memasuki fasa pembinaan lebih pesat. - DagangNews.com








