HLIB kekalkan pandangan positif sektor REIT disokong peningkatan kadar penghunian | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

HLIB kekalkan pandangan positif sektor REIT disokong peningkatan kadar penghunian

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 16 Dis – Sektor amanah pelaburan hartanah (REIT) dijangka terus mencatat momentum pendapatan kukuh, disokong strategi khusus syarikat, menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB).


Firma penyelidikan tersebut berkata, langkah berkenaan dapat dilihat antaranya seperti suntikan aset, penstrukturan semula penyewa serta peningkatan kadar penghunian di premis masing-masing.


Ia berkata prestasi REIT runcit pada suku keempat 2025 turut berpotensi menerima manfaat daripada faktor bermusim termasuk perayaan hujung tahun dan cuti sekolah, yang meningkatkan jualan penyewa.


"Bermula 4QFY25, REIT yang baru melengkapkan pengambilalihan aset dijangka mencatat sumbangan hasil yang lebih kukuh, misalnya IGB REIT dijangka disokong oleh Mid Valley Southkey," kata HLIB.


Ia turut menyorot beberapa cadangan pengambilalihan dalam tempoh terdekat yang wajar dipantau, antaranya ialah Paradigm REIT merancang untuk menyuntik tiga aset bernilai sekitar RM500 juta.


Hartanah tersebut jelas firma berkenaan meliputi Hyatt Place Johor Bahru Paradigm Mall, Le Méridien Petaling Jaya dan Premier Hotel Klang, yang disasarkan selesai pada separuh kedua 2026.


Selain itu kata HLIB, AmanahRaya REIT bercadang memperoleh bangunan industri di Telok Panglima Garang, Selangor pada harga RM39 juta, manakala UOA REIT merancang mengambil alih Tower 2A, Tower 2B serta tempat
letak kereta di UOA Business Park, Glenmarie, Shah Alam, bernilai RM200 juta.


"Beberapa REIT sedia ada mencatat pertumbuhan dua digit tahun ke tahun (YoY) termasuk Sunway REIT, Pavilion REIT, Axis REIT dan KIP REIT, didorong pengambilalihan aset baharu dan prestasi sewaan bertambah baik," katanya.


Sunway REIT, khususnya, mendapat manfaat suntikan beberapa aset runcit termasuk Sunway 163 Mall, Kluang Mall, Sunway Oasis di Sunway Pyramid dan Aeon Mall Seri Manjung, selain fasa kedua kerja naik taraf Sunway
Carnival Mall pada Mei 2025.


Pavilion REIT pula menerima sokongan suntikan aset hotel, manakala pertumbuhan KIP REIT disumbang pengambilalihan KIPMall Desa Coalfields, KIP Kuantan dan Bintulu Industrial Land yang selesai antara Ogos hingga September 2025.


Secara keseluruhan, HLIB mengekalkan penarafan 'overweight' terhadap sektor REIT, disokong ciri defensif, aliran pendapatan yang berdaya tahan serta penilaian yang menarik.


Firma itu turut menegaskan REIT di bawah liputannya diniagakan pada kadar hasil yang menarik berbanding Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) 10 tahun, dalam persekitaran kadar faedah yang rendah.


"Pemulihan segmen pejabat kekal kukuh, dengan kebanyakan REIT melaporkan kadar penghunian yang lebih tinggi serta pembalikan sewaan secara positif yang berterusan," kata HLIB.


Dalam musim pelaporan keputusan terkini, lima daripada enam REIT di bawah liputannya mencatat prestasi selari dengan jangkaan firma dan konsensus pasaran, manakala Sunway REIT mengatasi kedua-duanya, didorong kadar
penghunian hotel sebanyak 76% pada suku ketiga 2025. - DagangNews.com