Himpunan Turun Anwar bukti kematangan demokrasi era MADANI, kata Pengarah Komunikasi PKR | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Himpunan Turun Anwar bukti kematangan demokrasi era MADANI, kata Pengarah Komunikasi PKR

SEBAHAGIAN daripada ribuan peserta Himpunan Turun Anwar berkumpul di pekarangan Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur semalam. - Foto ihsan Hassan Mohd Noor
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 27 Julai — Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyifatkan Himpunan Turun Anwar dianjurkan pembangkang di ibu negara semalam sebagai ruang rakyat bersuara tanpa takut dan didengar kerajaan.

 

Pengarah Komunikasinya, Adam Adli berkata, kerajaan telah menzahirkan ruang demokrasi yang bukan hanya dilaungkan, tetapi benar-benar dirasai dengan hak berhimpun menjadi satu norma yang dihormati.

 

Kata beliau, Malaysia pernah melalui zaman apabila suara pembangkang dan penyokongnya disekat, manakala perhimpunan politik dihalang dengan perbezaan pendapat dianggap perbuatan jenayah.

 

"Sebaliknya dalam era MADANI, mereka bebas berhimpun secara aman tanpa gangguan atau kekerasan. Ini bukan kelemahan pentadbiran, tetapi inilah kekuatan demokrasi yang sebenar," katanya dalam kenyataan.

 

Mengulas lanjut, Adam berkata, cita-cita MADANI bukan sahaja menjamin hak sivil, tetapi hak kehidupan rakyat dan PKR melihat himpunan itu bukan sebagai ancaman, tetapi lambang perubahan budaya politik.

 

Pada masa sama tambahnya, usaha serius kerajaan dalam isu kos sara hidup, pembasmian kemiskinan, reformasi ekonomi, pendidikan, dan pekerjaan adalah bukti komitmen berterusan kepimpinan negara ini.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menzahirkan penghargaan kepada anggota keselamatan di lapangan dengan kehadiran mereka tanpa ada melepaskan gas pemedih mata, belantan dan perisai rusuhan.

 

"Ini cerminan kematangan institusi kita yang mengangkat peranan anggota keselamatan sebagai komponen penting dalam ekosistem demokrasi negara," jelasnya yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya di Melaka.

 

Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan menambah, perbezaan pandangan harus diraikan dalam demokrasi, dengan suara yang menyokong mahupun menentang; kedua-duanya penting dan wajar dilindungi.

 

Di pentas dunia katanya, kepemimpinan Perdana Menteri dan kerajaan mulai berhasil mengangkat semula imej Malaysia sebagai sebuah kuasa ekonomi yang stabil dan diyakini negara luar pasca wabak Covid-19.

 

Justeru, Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu menyifatkan perhimpunan tersebut diadakan kerana imej kejayaan Anwar kembali diiktiraf di peringkat sejagat yang semakin meresahkan pembangkang sendiri.

 

"Ketika kerajaan sibuk memulihkan negara, pembangkang ketandusan hala tuju. Lantas strateginya dialih kepada mencipta ketidaktentuan, permainan persepsi, dan serangan ke atas personaliti," kata Adam.

 

Kerajaan ujarnya, telah membuktikan kemampuan untuk memelihara ruang demokrasi namun persoalannya, mampukah pembangkang melakukan perkara sama atau mendidik penyokongnya menjadi adil dan celik?

 

Katanya, sama ada yang berhimpun di ibu kota, atau memerhati di desa, atau menentang di ruang maya; kita semua mencorak suatu peristiwa penting untuk membina sebuah negara yang lebih terbuka dan adil.

 

Sehubungan itu Adam berkata, inilah semangat MADANI apabila ruang luas diberikan untuk rakyat bersuara tanpa takut, dan kerajaan yang bersedia mendengar tanpa angkuh. - DagangNews.com