KUALA LUMPUR 24 Feb - HI Mobility Berhad menandatangani perjanjian taja jamin dengan Maybank Investment Bank Berhad bersempena tawaran awam permulaan (IPO) dan penyenaraian syarikat itu di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad.
Maybank Investment Bank akan bertindak sebagai penasihat utama, ejen penempatan tunggal serta penjamin tunggal dalam pelaksanaan IPO tersebut.
Aktiviti utama HI Mobility adalah pegangan pelaburan, manakala Handal Indah Sdn Bhd yang merupakan satu-satunya anak syarikat HI Mobility, terlibat dalam penyediaan perkhidmatan pengangkutan bas.
HI Mobility dan Handal Indah beroperasi dalam sektor pengangkutan awam dan terlibat dalam penyediaan perkhidmatan bas merentasi sempadan dan tempatan.
Penyedia perkhidmatan bas itu memulakan operasi pada tahun 2002, dengan menawarkan perkhidmatan bas antara bandar di Johor Bahru.
Pada tahun berikutnya, Handal Indah mengembangkan operasi dengan memperkenalkan perkhidmatan bas merentasi sempadan Johor Bahru - Singapura, yang beroperasi di bawah jenama Causeway Link.
Operasinya turut berkembang ke Lembah Klang dan Melaka.
Mengutamakan rumusan pengangkutan mampan, kumpulan mula menggunakan bas elektrik sejak 2023 untuk menggalakkan perjalanan mesra alam, mengurangkan pelepasan karbon dan meningkatkan kecekapan tenaga.
IPO HI Mobility terdiri daripada terbitan awam sebanyak 95.0 juta saham baharu (Saham Terbitan), yang bersamaan dengan 19.0% daripada jumlah modal saham yang diperbesarkan.
Sebanyak 10.0 juta Saham Terbitan itu akan dibuka untuk permohonan oleh orang awam di Malaysia, lebih kurang 5.0 juta untuk permohonan oleh pekerja layak kumpulan dan individu yang telah memberi sumbangan kepada kejayaan kumpulan.
Di sampung itu, sejumlah 47.5 juta dibuka melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) dan sebanyak 32.5 juta untuk permohonan melalui penempatan persendirian kepada pelabur institusi dan terpilih.
Selain daripada penerbitan 95.0 juta Saham Terbitan, IPO berkenaan juga merangkumi tawaran jualan 35.0 juta saham sedia ada, bersamaan dengan 7.0% daripada jumlah modal saham yang diperbesarkan, yang akan ditawarkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur institusi dan terpilih.
Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif HI Mobility, Lim Chern Chuen berkata, pihaknya berbesar hati dengan perjalanan penyenaraian kumpulan dan penandatanganan perjanjian taja jamin itu menandakan pencapaian pentingnya.
"Sebagai penghargaan atas kepercayaan dan sokongan yang kami terima, kami berusaha untuk mengembangkan syarikat dan memulakan pergerakan mampan melalui penggunaan kenderaan elektrik, bagi mengubah kumpulan menjadi pemain yang cekap tenaga dalam sektor pengangkutan awam Malaysia.
"HI Mobility memainkan peranan penting dalam menyediakan perkhidmatan pengangkutan asas, memastikan ketersambungan dan hubungan antara masyarakat," katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, pihaknya komited kepada kelestarian dan inovasi, dengan sentiasa meningkatkan perkhidmatan melalui kemajuan digital untuk mentakrifkan semula pengalaman perjalanan penumpang dan meningkatkan kecekapan operasi.
"Melalui rumusan pengangkutan yang berdaya cipta, HI Mobility kekal berdedikasi untuk membina masa depan yang lebih hijau sambil menyediakan perkhidmatan pengangkutan yang boleh dipercayai dan menyeluruh untuk semua," ujarnya. - DagangNews.com








