KUALA LUMPUR 8 April - Ketua pegawai eksekutif HHRG Bhd, Fong Chee Khuen telah digantung tugas, susulan dakwaan salah laku yang didakwa melanggar dasar syarikat dan syarat dalam kontrak pekerjaan Fong.
Penggantungan itu berkuat kuasa serta-merta dalam tempoh dua minggu sementara menunggu siasatan dalaman.
HHRG menyatakan, langkah ini diambil sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan siasatan terhadap dakwaan tersebut dijalankan secara bebas dan menyeluruh.
“Penggantungan Fong tidak akan memberi sebarang kesan kepada kewangan atau operasi syarikat,” kata kumpulan itu dalam makluman di Bursa Malaysia.
Tambahnya, sepanjang tempoh penggantungan, semua urusan operasi dan pengurusan akan dikendalikan oleh Timbalan Pengerusi Eksekutif, Datuk Paduka Ammar Shaikh Mahmood Naim.
HHRG Bhd juga memberi jaminan penggantungan Fong tidak akan menjejaskan prestasi kewangan mahupun operasi syarikat.- DagangNews.com








