KUALA LUMPUR 24 Jun – HeiTech Padu Bhd menyemak semula angka pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (Ebitda) bagi tahun kewangan berakhir 2024 kepada RM35.4 juta, meningkat RM8.6 juta daripada RM26.8 juta yang dilaporkan sebelum ini.
Syarikat penyedia perkhidmatan teknologi maklumat (IT) yang memfokus kepada produk penyelesaian digital kerajaan dan perusahaan itu berkata, pembetulan berkenaan melibatkan dua bahagian dalam laporan tahunan syarikat.
“Telah dinyatakan bahawa Ebitda kumpulan ialah sebanyak RM26.8 juta.
"Namun begitu, Ebitda bagi tempoh yang sama perlu dipinda kepada RM35.4 juta,” kata HeiTech Padu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Syarikat turut mengesahkan semua maklumat lain yang terkandung dalam laporan tahunan bertarikh 30 April itu kekal tidak berubah.

“Kami memohon maaf atas kesilapan ini dan sebarang kesulitan yang timbul amat dikesali.
"Segala keprihatinan dan kefahaman pihak tuan amat dihargai,” kata Pengarah Eksekutif, Sandraruben Neelamagham dalam kenyataan rasmi. - DagangNews.com








