KUALA LUMPUR 14 Julai — Syarikat-syarikat minyak dan gas (O&G) di Malaysia dibimbangi menyaksikan pendapatan mereka sepanjang tahun ini berterusan mengalami penyusutan, menurut CIMB Securities.
Firma penyelidikan tersebut berkata, keadaan berkenaan disebabkan banyak cabaran besar termasuk buku tempahan yang lebih lemah, pemampatan margin, peruntukan modal kerja dan gangguan operasi.
Tambahnya, penyusutan itu terus berlaku ketika sektor O&G berdepan dengan pelbagai halangan secara terus-menerus, dan menetapkan asas paras baharu kepada pendapatan rendah dalam tempoh sedekad.
"Pendapatan dalam sektor itu boleh merosot 8.8% suku ke suku untuk April hingga Jun, mengecutkan lagi keuntungan setahun penuh sebanyak 6.3% pada 2025," kata CIMB Securities dalam nota kajiannya.
Selain itu kata firma berkenaan, sektor tersebut kini menghadapi pelbagai masalah yang mungkin boleh menjejaskan keseluruhan prestasi dan sentimen perniagaan mereka dalam tempoh jangka pendek.
Indeks Tenaga Bursa Malaysia, yang menjejaki 31 saham dalam sektor O&G, telah kehilangan lebih 12% sejak bermula, sejajar penurunan harga minyak mentah Brent, penanda aras global merosot hampir 6%.
Pelabur juga bimbang mengenai ketidaktentuan kawal selia di Sarawak mungkin mengganggu perbelanjaan modal Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) kerana banyak syarikat kecil yang bergantung di negeri itu.
"Kami percaya faktor-faktor ini memberi tekanan berterusan ke atas sektor O&G, serta mengakibatkan momentum hasil lemah, pelaksanaan projek tertangguh dan sentimen pelaburan berwaspada," katanya.
Bagi syarikat di bawah liputan CIMB Securities, Bumi Armada Berhad mungkin menyaksikan penurunan pendapatan suku ke suku sebanyak 42 peratus berikutan tahap penyewaan kapalnya yang lebih rendah.
Sementara itu tambahnya, keuntungan MISC Berhad dijangka jatuh 24.9 peratus, manakala pendapatan bersih PETRONAS Dagangan Berhad diunjurkan susut 18.1% pada margin komersial yang lebih lemah.
Begitu juga kata firma berkenaan, hasil PETRONAS Chemicals Group Berhad mungkin berkurangan 5 peratus di tengah-tengah isu loji dan masa henti yang berterusan di kompleks Pengerang, Johor.
Ia kekal 'neutral' ke atas sektor O&G berikutan risiko penurunan tinggi walaupun penilaian positif dengan sektor itu kini didagangkan 15 kali pendapatan hadapannya, di bawah purata sejarah 10 tahun.
"Penurunan penarafan ini mencerminkan persekitaran operasi yang mencabar dan kekurangan pemangkin jangka terdekat, meskipun ada beberapa isu daya tahan," tambahnya. - DagangNews.com








