KUALA LUMPUR 10 Julai — Hasil sektor perbankan dibimbangi terjejas berikutan langkah Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR), kata Public Investment Bank (PublicInvest).
Firma penyelidikan tersebut berkata, kesan negatif ke atas pendapatan itu dijangka paling teruk dirasai bank-bank dengan memiliki tahap deposit akaun tetap dan akaun simpanan (CASA) yang rendah.
Impak buruk berkenaan juga akan memberi kesan secara ketara kepada bank-bank yang dikenal pasti mempunyai tahap pinjaman kadar tetap lebih rendah bagi bertindak menyerap pemotongan OPR tersebut.
"Bank-bank itu akan paling terdedah kepada risiko penyusutan pendapatan terutama sekiranya nisbah pinjaman kadar berubah lebih tinggi dalam buku pembiayaannya," kata PublicInvest dalam notanya.
Semalam, Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM mengambil keputusan mengurangkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus, iaitu pemotongan kadar pertama sejak Julai 2020.
Kali terakhir, BNM mengekalkan OPR sebanyak 2.75 peratus ialah pada Mac 2023 sebelum MPC bank pusat berkenaan bertindak dengan menaikkan kadar tersebut kepada tiga peratus sejak Mei 2023.
Mengulas lanjut, PublicInvest berkata, Alliance Bank Malaysia Berhad dijangka paling terjejas disebabkan merekodkan pemampatan nisbah pinjaman kadar berubah yang agak tinggi iaitu 84 peratus.
"Sebaliknya, kami percaya Maybank Berhad akan menjadi bank yang paling tidak terjejas dalam kalangan institusi perbankan di Malaysia kerana nisbahnya adalah rendah kira-kira 70 peratus," katanya.
Bagaimanapun tambah firma berkenaan, nisbah CASA Alliance Bank sebanyak 41 peratus dijangka boleh membantu menyerap dan mengurangkan beberapa kesan negatif akibat oleh penyusutan OPR berkenaan.
Ia namun melihat tindakan MPC itu sebagai langkah awal oleh pihak pengurusan BNM untuk mengekalkan laluan pertumbuhan stabil kepada Malaysia di tengah-tengah cabaran ketidaktentuan makroekonomi.
Justeru, PublicInvest menyelaraskan ramalan pendapatan bank-bank di bawah liputan penyelidikannya ke bawah secara purata antara kira-kira tiga hingga empat peratus berikutan perkembangan baharu itu.
"Walaupun permintaan kredit secara teori wajar mendapat manfaat pengurangan OPR, kami berpendapat pertumbuhan pinjaman mungkin kurang, memandangkan pertumbuhan ekonomi lebih perlahan," katanya.
Secara keseluruhan, ia mengekalkan pendirian 'neutral' untuk sektor perbankan, dengan Maybank sebagai pilihan kerana ada pilihan bertahan yang kukuh dengan hasil dividen menarik. - DagangNews.com








