Hasil Sapura Energy dipotong 18% pada FY26 disebabkan penyelarasan kerugian - BIMB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hasil Sapura Energy dipotong 18% pada FY26 disebabkan penyelarasan kerugian - BIMB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 7 Julai — Unjuran pendapatan Sapura Energy Berhad dipotong sebanyak 18% untuk tahun kewangan 2026 berikutan penyelarasan bagi kerugian ditanggung kumpulan itu, menurut BIMB Research.


Firma penyelidikan tersebut berkata, syarikat minyak dah gas itu merekodkan kemerosotan hasil berkenaan pada tempoh suku pertama berakhir 30 April 2025 disebabkan kekurangan dalam buku tempahannya.


Ia menambah, berdasarkan laporan anak syarikat dan usaha sama kumpulan itu pada 1QFY26 masing-masing menyusut kepada RM7.9 bilion (4QFY25: RM8.5 bilion) dan RM4.8 bilion (4QFY25: RM5.5 bilion).


Pada 1QFY26, ia kerugian bersih RM477.96 juta, berbanding keuntungan bersih RM82.13 juta setahun sebelumnya, manakala hasil turun kepada RM801.37 juta daripada RM1.18 bilion setahun sebelumnya.


"Kerugian ini disebabkan terutamanya oleh cabaran operasi untuk melaksanakan kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pemasangan (EPCI) di Angola," kata BIMB Research dalam nota kajiannya.


Tambah firma berkenaan, segmen kejuruteraan dan pembinaan kumpulan Sapura Energy juga mencecah sebanyak RM304 juta untuk kerugian yang boleh dijangka daripada pelbagai projek dilakukan tersebut.


Sementara itu, kadar penggunaan aset segmen penggerudian menurun kepada 604 hari (1QFY25: 750 hari, 4QFY25: 729 hari) kerana dua pelantar masih dikekalkan ketika peralihan kepada kontrak baharu.


Hanya segmen operasi dan penyelenggaraan kumpulan itu adalah satu-satunya yang positif dengan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM20 juta walaupun aktivitinya lemah sedikit pada suku tersebut.


Bagaimanapun, BIMB Research berkata Sapura Energy dijangka mencapai pemulihan hasil pada 2QFY26 dan seterusnya didorong oleh pemulihan dalam projek Angola, yang diunjur siap menjelang Disember 2025.


"Begitu juga kadar harian untuk penggunaan pelantar penggerudian yang diramal lebih tinggi dan kadar sewa harian bertambah apabila kontrak baharu dimulakan," kata firma penyelidikan berkenaan.


BIMB Research juga menyatakan ia terkejut dengan satu lagi kos projek yang dilampaui pada 1QFY26, tetapi pengurusannya telah memberi panduan bahawa ia tidak menjangka perkara ini berulang lagi.


Secara berasingan, Sapura Energy juga mengumumkan bahawa Bursa Malaysia telah meluluskan cadangan pelan penyelarasannya setelah menghadapi beberapa halangan untuk kelulusan Suruhanjaya Sekuriti.


Ini termasuk pengecualian daripada perlu melakukan tawaran am mandatori sebelum akhirnya boleh pelan penstrukturan semula hutangnya yang disasarkan untuk disiapkan seawal-awalnya Ogos 2025.


"Keluar daripada status sebagai syarikat bermasalah di bawah nota amalan 17 (PN17) mungkin dapat direalisasikan Sapura Energy pada separuh kedua tahun depan," tambah firma penyelidikan tersebut.


Berdasarkan perkembangan berkenaan, BIMB Research masih lagi mengekalkan saranan 'pegang' ke atas kumpulan tersebut dengan harga sasaran tidak berubah sebanyak empat sen sesaham. - DagangNews.com