KUALA LUMPUR 2 Julai — Telekom Malaysia Berhad (TM) diramal menjana hasil kasar melalui perniagaan pusat datanya naik sebanyak dua kali ganda menjelang tahun kewangan 2027, menurut RHB Research.
Firma penyelidikan tersebut berkata, perkembangan positif itu didorong oleh penggunaan sepenuhnya kapasiti beban teknologi maklumat (IT) yang semakin diperluaskan kira-kira 40 megawatt (MW).
Tambahnya, langkah pengembangan pusat data teras berkembar TM di Cyberjaya, Selangor dan Iskandar Puteri, Johor kini berada di landasan yang betul untuk disiapkan menjelang suku keempat 2025.
"TM juga merupakan penerima manfaat utama gelombang lebar terurus dan hasil sambungan gentian pusat data dengan peningkatan permintaan skala besar," kata RHB Research dalam nota kajiannya.
Kumpulan itu katanya, kekal sebagai sektor pilihan pada pemacu struktur, penambahanbaikan pulangan atas modal dilaburkan dan kekuatan kunci kira-kira yang menggambarkan pengurusan modal kukuh.
Ia turut mengekalkan saranan 'beli' ke atas TM, dengan harga sasaran tidak berubah kepada RM8.15 sesaham berdasarkan potensi jangka panjang syarikat telekomunikasi berkenaan selama ini.
Sementara itu, RHB Research berkata, Pusat Data TM Lembah Klang Blok 2 berada di landasan tepat untuk dapat disiapkan mengikut jadual yang telah pun ditetapkan menjelang akhir tahun ini.
Kata firma berkenaan, pemeriksaan tanah menunjukkan kemajuan kukuh, dengan lebih 60 peratus daripada pembinaan telah selesai, manakala kerja-kerja struktur untuk bangunan empat tingkat itu sudah siap.
"Kemudahan yang dijana kecerdasan buatan (AI) itu membolehkan TM memenuhi permintaan pusat data yang semakin pantas setelah Blok 1 ditawarkan sebelum ini berada pada penggunaan optimum," katanya.
Begitu juga kemudahan teras berkembar TM yang lain di Nusajaya Technology Park, pusat data Iskandar Puteri, juga sedang menjalani pengembangan serupa dengan Blok 2 dijangka siap menjelang suku ketiga.
Usaha sama 51:49 antara TM dengan Singtel dari Singapura untuk pembinaan pusat data AI 64MW di situ berada di landasan betul untuk disiapkan pada separuh kedua 2026, dengan projek berjalan lancar.
Secara keseluruhan, RHB Research berkata, risiko utama untuk TM pada ketika ini membabitkan masalah kelewatan pelaksanaan dan penggunaan pusat data yang lebih perlahan daripada jangkaan awal.
Ini termasuk kelewatan pengkomersialan dan operasi kapasiti pusat data diperluas, persaingan dari pemain lain dan perkembangan geopolitik negatif yang boleh mengecilkan perbelanjaan. - DagangNews.com








