KUALA LUMPUR 16 Julai — Permintaan yang semakin tinggi terhadap produk penebat dijangka mampu meningkatkan hasil PGF Capital Berhad pada suku pertama tahun kewangan 2026 (1QFY26), menurut TA Securities.
Firma penyelidikan tersebut berkata, kumpulan yang berpangkalan di Pulau Pinang diunjur mencatatkan keputusan kukuh suku pertama berakhir 31 Mei 2025 berikutan lonjakan permintaan ke atas produknya.
Ini termasuk bulu mineral kaca untuk penebat haba dan akustik serta memainkan peranan penting dalam menyokong pembinaan cekap tenaga, di negara maju iklim bermusim seperti Australia dan New Zealand.
"Bagaimanapun, pertumbuhan pendapatan PGF Capital mungkin terpaksa dihadkan berikutan isu kapasiti pengeluaran di kilangnya yang masih lagi berterusan," kata TA Securities dalam satu nota kajiannya.
Keuntungan bersih suku tahunan kumpulan itu diunjur RM5 juta dan RM7 juta, menyumbang 14% hingga 20% daripada anggaran pendapatan setahun penuh, disebabkan penjualan tanah pada tempoh separuh kedua.
Selain itu kata firma tersebut, kilang baharu PGF di Kulim, Kedah sudah mencapai 50% penyiapan dalam kerja-kerja cerucuk, dan diramal mampu memenuhi tarikh akhir disiapkan pada suku pertama 2026.
Kata TA Securities, tempahan untuk pelbagai mesin dan peralatan telah pun dilaksanakan PGF Capital manakala penghantaran jentera berkenaan boleh dijangka pada suku ketiga dan suku keempat tahun ini.
"Perluasan skop cukai jualan dan perkhidmatan (SST) mulai 1 Julai 2025 tidak akan memberi kesan yang ketara ke atas operasi kumpulan, kerana jualan domestiknya sudah tertakluk kepada SST 10%," katanya.
Begitu juga, pelarasan tarif elektrik mungkin sedikit positif untuk syarikat itu, kerana purata kos tenaga berkurangan susulan pelanjutan waktu luar puncak dijangka menyumbang kepada penjimatan bil.
TA Securities menambah, peraturan hartanah sewa baharu di Australia yang mewajibkan pemasangan penebat siling dijangka mengekalkan permintaan tinggi untuk eksport produk bulu kaca PGF Capital.
Dari segi harga jualan purata pula, firma penyelidikan tersebut berkata, kumpulan berkenaan masih kukuh pada kadar RM6 sekilogram kerana aktiviti lambakan produk China tidak berleluasa di Australia.
"Berdasarkan situasi semasa ini, kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran RM2.99 sesaham serta menyemak unjuran pendapatan FY26 dan FY27 PGF masing-masing 2.4% dan 2.6%," katanya.
Ia menjangka PGF Capital puliha daripada kerugian teras sebanyak RM1.9 juta pada 4QFY25, yang sebelum ini dipengaruhi oleh faktor bermusim dan perbelanjaan cukai lebih tinggi. - DagangNews.com








